Saturday, April 30, 2011

Ana,Buku dan Cinta (✿◠‿◠)




Alhamdulillah. Andai tujuh lautan menjadi tinta untuk  meluahkan rasa syukur kepada PEMBERI nikmat ini nescaya tidak cukup. Masakan terbalas hanya dengan ucapan syukur? Maha Pemurah ALLAH melimpahkan rezeki dari tiap penjuru dan kekadang didatangkannya rezeki dari tempat yang tidak disangka-sangka. ALLAHu ALLAH!

Rezeki yang dihidangkan bukanlah didatangkan untuk menjauhkan diri kita dariNYA. Namun, tiap rezeki itu membuktikan kasih sayangNYA kepada kita, hamba-hambaNYA. Tidak diminta balasan yang serupa melainkan mengabdian diri kepadaNYA. Hakikatnya, pengabdian kita bukanlah untuk menambahkan kekuasan yang dimilikiNYA atau sebaliknya tapi kebaikannya kembali kepada kita.

Tiap suruhan dan larangannya sebenarnya untuk kebaikan kita sendiri. DIA yang menciptakan kita, maka DIAlah yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita. PENCIPTA lebih mengetahui keperluan  apa yang diciptaNYA.

Berbekalkan keinginan yang melonjak-lonjak untuk ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, plan diatur untuk ke sana walaupun hakikatnya ana berada ‘agak jauh’ daripada tempat berlangsung. Walaupun sudah sedia maklum discount yang ditawarkan tidak berbaloi dengan harga tiket yang perlu dibayar tapi ana tetap membulatkan tekad untuk ke sana. Senarai buku yang ingin dibeli sudah disiap awal-awal supaya mudah proses pembelian nanti. Hanya perlu ‘menyerang’ publisher buku yang ingin dibeli.

Tahun lepas diizinkan ALLAH untuk meninggalkan jejak di book fair. Sampai sanggup tak masuk kelas semata-mata untuk mengikut sahabat ana ke sana (tak nak mengaku ponteng kelas:P)     

Alhamdulillah, tahun ini dengan izinNYA pada tanggal 27 April  dua belah kaki ini sekali lagi berjaya melangkah masuk ke PWTC di mana tempat berlangsungnya book fair(ayat macam apa jep). Ditemani oleh seorang sahabat fillah, cik azyan dan adik yang merengek-rengek nak ikut. Akhirnya membuli adik untuk membawa buku-buku yang dibeli. Oh, baiknya ana*sigh* Hanya sempat  3 jam sahaja berlegar-legar di sana. Belum puas. Kalau ikutkan hati mahu sahaja berkampung dengan buku-buku=) 
Ketika bergaul dengan manusia, apa yang ada hanyalah mengadu domba, mengumpat, berdengki, dan saling membenci. Namun ketika bergaul dengan buku, apa yang ada adalah hikmah, hidayah dan keindahan. masyALLAH!
Tahun ini banyak membeli buku berbentuk self improvement. Selamat mengkhatam dan menghadam!

Buku-buku yang sempat di'grab'
 Kisah-kisah Ulama’ dan Buku

Kisah 1(Sentiasa Bersama Buku)

Di dalam kitab al-Jawahir wa al-Durar, Imam  al-Sakhrawi bercerita tentang gurunya, Ibn Hajar. Perkara yng paling disukai oleh Ibn Hajar adalah mutala’ah, membaca, mendegar, beribadah, dan mengarang kitab. Dia tidak pernah membiarkan waktunya terbuangsia-sia tanpa melakukan perkara-perkara yang disebutkan tadi. Dia terus belajar sehingga sampai waktu makan dan beribadah. Sememangnya, bila ALLAH meginginkan seorang hambaNYA akan suatu perkara yang mulia, maka DIA jugalah yang mencipta segala hal yang mendorong perkara tersebut. Ibn Hajar pernah berkata: “Aku sangatlah hairan terhadap orang yang duduk seronok padahal dia tidak mempunyai kesibukan yang bermakna.”

Kisah 2(Menjual Rumah Hanya untuk Membeli Buku)

Di dalam kitab Dzail al-Tabaqat, Ibn Rajab menyebut riwayat hidup seorang pakar ulama’ nahu, iaitu ‘Abdullah bin Ahmad atau lebih dikenali dengan panggilan Ibn Khassyab. Pada suatu hari dia ingin membeli buku yang harganya lima ratus dinar. Padahal waktu itu dia tidak mempunyai wang. Kemudian, dia meminta kepada penjual buku itu agar menunggunya selama tiga hari. Keesokan harinya, Ibn al-Khassyab pun menjual rumahnya. Dia menawarkan rumah itu dengan harga lima ratus dinar. Setelah rumah itu laku dan memiliki wang sebanyak lima ratus dinar, maka dia bertemu kembali dengan penjual buku tempoh hari untuk mendapatkan buku itu.

Kisah 3 (Buku Sentiasa Ditangan)

Kebanyakkan ulama’yang mahsyur, mereka tidak pergi ke suatu tempat melainkan di tangan mereka ada kitab yang mereka baca. Itu tidak lain kerana minat mereka yang luar biasa terhadap membaca. Mereka juga sangat takut jika mereka membuang masa mereka dengan perkara yang sia-sia. Didalam kitab Syiar A’lam al- Nubala disebutkan bahawa Ibn al-Abnusi bercerita tentang al-Hafiz al-Khatib. Dia tidak pernah pergi ke suatu tempat melainkan di tangannya ada sebuah buku untuk dibaca.

ALLAHuakbar! Banyak lagi kisah berkisar  kehidupan ulama’ dan buku namun tiga kisah di atas sudah cukup menjentik kecemburuan seterusnya mendorong untuk diri ini membaca, membaca dan terus membaca. Moga istiqamah!

Bagaimana kamu ingin membina akal kamu sedangkan kamu tidak pernah membaca! Kita adalah umat iqra’, maka bacalah supaya kita tidak sesat, tidak tergelincir dan tidak menjadi orang yang hina. Satu ayat yang kita baca mungkin mampu memimpin langkah kita daripada kesesatan ke gerbang hidayah. Mari menyahut seruan iqra’!

wALLAHu’alam, masih berlajar dari AL-‘ALIM

       
Buku kekasihku, 

Baiti Jannati
10:20am
30042011


Ya ALLAH! Maafkan aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku..dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan..

Sunday, April 24, 2011

Telah Kupilih Jalan Ini



Update versi malas=.=

  
Bismillahirrahmanirrahim..
Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang mengingati ALLAH sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata) “ Ya TUHAN kami, tidaklah ENGKAU ciptakan ini dengan sia-sia; Maha Suci ENGKAU, lindungi kami dari azab neraka.”(3:190&191)
Menikmati lukisan alam sungguh membuatkan ana terpaku. Salah satu kebesaran ALLAH untuk membuktikan kekuasaanNYA. SubhanALLAH. Usai solat subuh, jendela dikuak luas-luas. Terpanggil dengan kicauan burung yang riuh sejak tadi. Burung-burung sedang berzikir. Sedangkan  manusia yang punyai akal masih terdampar diatas tilam empuk masing-masing, belum pun menunaikan hak ALLAH. Ada juga yang menarik kembali selimut menyambung tidur setelah melepaskan kewajipannya.  ALLAHu ALLAH. Terlupa kita dengan doa yang pernah dipanjatkan oleh Rasulullah SAW supaya ALLAH melimpahkan keberkatan kepada umatnya di waktu pagi,
اللهم بارك لإمتي في بكورها
~Ya ALLAH berkatilah umatku diwaktu pagi~
ALLAH sudah menjamin rezeki hambaNYA setiap hari. Sepatutnya seorang hamba itu tidak perlu lagi berkeluh kesah tentang rezekinya. Ambillah ibrah daripada seekor burung. Keluarnya di pagi hari mencari rezeki dan pulangnya ke sarang dengan perut yang kenyang. Tawakkal seekor burung. Rezeki ALLAH terbentang luas. Sungguh pemurah ALLAH memberi tetapi manusia kedekut pula untuk berkongsi rezeki yang dikurniakan AR-RAZAK kepadanya. 

Lima hari mengambil masa untuk 'beruzlah'. Meninggalkan segala keselesaan dunia buat sementara. Meng'hibernate'kan diri. Off blog, facebook hatta handphone sekalipun. Seorang da'ie adakalanya perlu beruzlah kerana dia perlu sedar dalam masa dia mengajak manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan dirinya tidak sedar sebenarnya hatinya sedang terluka. ALLAHu RABBI. Hakikatnya betapa ramai manusia yang mengajak manusia kembali kepada ALLAH namun dia sendiri 'lari' dariNYA. Nauzubillah.

Sepanjang misi 'uzlah' awal-awal lagi sudah menyiapkan diri  untuk ditarbiyyah. Agar sentuhan tarbiyyah benar-benar meresap ke dalam diri. Terasa mudah bila segalanya dilakukan kerana ALLAH. Sehingga terasa lima hari belum 'cukup' untuk membentuk diri ini yang sudah lama berada di dalam kesenangan. Sesekali ditarbiyyah jiwa disentap hebat. Terasa bukan mudah untuk berada di jalan dakwah ini. Apabila memilih berada dijalan dakwah beerti selamanya berada dalam kesusahan. Kesenangan hanya akan dikecapi setelah dua belah kaki menjejak ke dalam syurga. ALLAH, sampaikan kami di sana!


Pada akhir zaman orang-orang yang memegang tali perjuangan itu bagai mengenggam bara api. Andai terus digenggam hancur luluh jiwanya. Namun andai dilepaskan hancurlah dunia. Jangan takut untuk berjuang kerana orang yang berjuang memang dirintangi ujian. Sesungguhnya ALLAH sentiasa bersama dengan orang yang sabar. Kita hidup untuk perjuangan dan mati untuk kehidupan. Syurga menjadi impian!
 Sunnah Orang Berjuang
Sudah sunnah orang berjuang 
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi 
Berenggang dengan anak dan isteri 

Biasanya para pejuang
Rumah mereka merata-rata 
Rezekinya tidak menentu
Tidur baringnya tak berwaktu 

Orang lain membuat harta
Tapi dia membuangnya 
Orang lain kawan terbatas
Tapi pejuang kawan merata 

Orang lain musuhnya kurang
Pejuang musuh tidak terbilang 
Tidak kurang yang sayang padanya
Orang lain mati dilupa

Para pejuang tetap dikenang
 Sejarahnya ditulis orang
Makamnya sentiasa diziarahi 
Walau perjuangan tak berjaya


MUSLIMAT POWER!!







Selamat berkerja untuk ISLAM,

24042011
Baiti Jannati


Nota hati:Kontrak sudah disambungkan kembali. Moga terus thabat biarpun sejuta rintangan yang menghalangi. Ingat kembali janji yang sudah terpatri. ALLAH menjadi saksi. Tingkatkan thaqafah diri dan bersedia untuk ditarbiyyah dan mentarbiyyah. ALLAH bersamamu, ALLAH melihatmu dan ALLAH menyaksikanmu! ALLAHuakbar!

Ya ALLAH!maafkan aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku..dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan itu..



Friday, April 15, 2011

Berpurdah Bukan Bermakna Sudah SOLEHAH!

Bismillahirrahmanirrahim..
 

 Ramai wanita yang mengimpikan diri dinobat wanita solehah, tapi malang dalam ia mencari solehah ia tersilap langkah.Sedang ia berusaha memperbaiki diri sendiri, tanpa disedari ia sedang melumurkan najis pada hati sendiri.Kadang-kala hati bergelora inginkan perubahan, namun malangnya kerana kaki yang masih belum mahir berenang, akhirnya lemas di lautan dalam.Sebenarnya kenapakah anda berpurdah?cuba teliti, mungkin ada salah satu jawapan dibawah :


  • Mungkin kalian ingin menunjukkan pada orang lain bahawa kalian adalah solehah
  • Mungkin kalian ingin menawan hati lelaki yang beriman
  • Mungkin ingin dianggap sebagai seorang seorang gadis cantik, kerana kebiasaannya wanita berpurdah di kaitkan dengan seorang yang berwajah cantik
  • Mungkin ingin lebih menonjol berbanding kawan-kawan yang tidak berpurdah
  • Atau mungkin juga hanya kerana takut dirogol
Andaikata salah satu jawapan diatas adalah selari dengan apa yang tersemai di hati kalian, tahniah! kerana nafsu kalian telah berjaya menumpaskan iman.


Solehah Bukan Di Mata


Lelaki bukan memandang solehah seorang wanita pada purdah yang dipakai, atau labuhnya jubah yang digandal.Namun solehah itu terletak pada hati.Ramai dikalangan wanita yang memakai purdah, tetapi apabila berbicara dengan lelaki, MasyaALLAH! jauh sekali dengan penampilan, hanya indah khabar dari rupa, hidup hanya untuk sedap di pandang mata.Sahabat, bukan begitu caranya mejadi wanita solehah.


Tak kurang juga yang memakai sarung lengan, sepatutnya bila kalian memakainya, cubalah kalian sembunyikan menggunakan lengan baju dengan semampunya.Inikan tidak, lengan baju yang elok kalian sinsingkannya(lipatkan untuk menampakkan sarung lengan).Untuk apa?untuk menunjuk-nunjuk?.Kalau begitu sama sahaja kalian dengan Mami Jarum yang suka menunjukkan perhiasannya.Dan kalian akan bersama-sama golongan seperti mereka menghirup azab api neraka.


Bukanlah bermakna saya menafikan kebaikan berpurdah atau tidak menyukainya, namun peringatan agar dalam melakukan sesuatu keharusan kita tidak menambahkan lagi dosa.Biarlah sucinya hati itu sesuci pakaian yang ada di tubuhnya, walaupun kita mengerti bahawa begitu sukar untuk mendapatkannya, tapi kita mesti teruskan usaha.Sesungguhnya Allah senantiasa bersama sangkaan hambanya.


Ikhlas Menutup Pintu Fitnah,


Pemakaian purdah sebenarnya bertujuan untuk menutup pintu fitnah, bukan menambahkan lagi kuantiti wanita yang bergelar solehah hanya di wajah.Sekalipun kalian berpurdah, belum tentu kalian memakainya semata-mata kerana ALLAH,renungkanlah apakah sikap dan sifat di bawah adalah kelakuan kalian :
Suka mengupload gambar berpurdah/berpenampilan solehah di Facebook
Menampakah wajah tanpa purdah kepada lelaki muhrim yang dicintai melalui Yahoo Mesengger atau sebagainya
Memakai purdah hanya di tempat-tempat tertentu
Memberikan gambar yang berpenampilan solehah kepada lelaki muhrim

Andaikata salah satu atau lebih daripada ciri-ciri yang saya berikan adalah wujud dalam diri kalian, maka muhasabahlah dan bertaubatlah kepada ALLAH memohon keampunan.Sesungguhnya mereka yang berpurdah itu hakikatnya mereka ingin menutup pintu fitnah pada diri mereka, tidak ingin dilihat oleh lelaki sekalipun wajah itu adalah ruangan halal untuk di zahirkan.Apatah lagi untuk dikongsi-kongsikan.Saya sebagai lelaki tahu untuk memikirkan, kenapakah kalian tidak pernah terfikir di benak fikiran?


Maksiat Di Sebalik Tudung


Fenomena yang tidak asing lagi mewarnai wanita bertudung, ada sebahagian wanita yang mengambil kesempatan bertudung untuk melindungi dirinya daripada disangka buruk bila bersama-sama dengan lelaki, sehingga tudung itulah yang dijadikan penutup wajah lelaki yang bersembunyi di sebalik tudungnya, membenarkan teman lelaki memuaskan nafsu serakahnya, bahkan ada yang jadikan tudung sebagai pakaian untuk mengaburkan mata manusia daripada mengetahui bahawa ia sedang hamilkan anak luar nikah.Kalau pakai tudung, orang takkan nampak ada dua tangan jantan yang sedang memegang "tombol" api neraka di badannya.Wanita inilah yang menodai kesucian mereka yang benar-benar memakainya kerana mematuhi syariat ALLAH.Demikianlah wanita yang bergelar calon ahli neraka yang akan menerima azab siksaan hari akhirat nanti.Ambillah nasihat yang baik daripada bicaraku ini.


“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri” (Al-Baqarah [2]: ayat 222)




Ya ALLAH jangan ENGKAU jadikan tangan yang mampu mengoncangkan dunia ini, juga mampu mengoncangkan iman para lelaki!

copied from:here


 Ya ALLAH!maafkan aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku..dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan..

Sunday, April 10, 2011

Dunia Blogger:Tak Setenang yang Disangka


Bismillahirrahmanirrahim..

Berminggu-minggu berada dalam peperangan emosi. Membina tembok sabar bukan semudah yang disangka. Terfikir. Bagaimana mulianya Rasulullah SAW tetap tersenyum ketika dibenci. Tetap tenang bila dimusuhi. Tetap membantu walau disakiti. Tetap juga menyeru biarpun diusir pergi. Sedangkan kita(read:ana) mudah sekali membenci bila dikasari. Mudah  putus asa apabila apa yang dilakukan tidak menjadi. Mudah kecewa bila tiada yang memahami. Mudah terguris bila dinasihati.

Sudah berpesan kepada diri jangan sesekali menulis dalam keadaan marah. Bimbang api kemarahan itu berlandaskan bisikan syaitan semata.menghibernatekan diri adalah langkah yang terbaik Menunggu hati ini betul-betul berada dalam keadaan sejuk barulah pena akan ditarikan semula.

Hanya memandang sepi kepada lembaran maya  yang sudah lama ditinggalkan. Direnung dalam-dalam lalu membuahkan rasa rindu yang teramat sangat untuk menulis. Tarian jemari bermula. Walaupun  layu sahaja langkah si jemari menari-menari di atas papan kekunci. Masih malu-malu meow memula langkah=)

Termenung dan terfikir. Kenapalah agaknya walaupun blog ini jarang-jarang diupdate tapi masih mampu mengndang kecemburuan dihati sesetengah pihak. Gigit jari ana dibuatnya. Bila ana cuba ‘menjentik’ untuk melihat reaksi-reaksi mereka, maka terhamburlah segala  yang busuk daripada hati-hati mereka. Astaghfirullah hal’azim.

Manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuh orang lain. Sedangkan mereka terlupa segala rezeki datangnya daripada ALLAH AR-RAZAK bukan daripada makhluk ciptaNYA. Tidak akan meninggi orang yang menjatuhkan orang lain. ALLAH itu sifatnya adil dalam merencanakan sesuatu. Tidak dilebihkan atau dikurangkan rezeki setiap hambaNYA. Semuanya menikmati rezeki daripadaNYA bersesuaian dengan keperluannya.

Tidak perlu membebankan diri memikir kelebihan orang lain sehingga mencetuskan api kedengkian. Cukuplah dengan melihat kekurangan diri supaya kita ‘pandai’ bersyukur kepada PEMBERI NIKMAT. Bilamana terlalu memusatkan pemikiran kepada kelebihan orang lain maka akan terhasillah hamba yang tidak bersyukur. Kalilalan ma tasykurun! Bukan tidak boleh langsung memandang kelebihan orang lain kerana kekadang dengan melihat kelebihan orang lain akan terbias kebesaran dan keagungan ALLAH yang dipinjamkan kepada makhlukNYA. Jarang-jarang kita memuji kelebihan orang dengan menyandaran kehebatan itu kepada PEMILIK SEGALA KEHEBATAN.
SubhanALLAH, hebatnya ilmu yang ALLAH pinjamkan kat dia.. ya ALLAH betapa AL-‘ALIM dan AL-HAKIMnya ENGKAU!  
Usah berdengki dengan pinjaman ALLAH kepada makhlukNYA. Dengki merupakan tanda hati kita bermasalah. Hati kita sakit dan memerlukan rawatan kecemasan dengan segera. Silalah berjumpa dengan DR.PAKAR HATI untuk mendapatkan rawatan selanjutnya kerana DIA ada ubat yang paling mujarab untuk merawat hati anda^__^
      Berkata seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada ALLAH ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.
      Ambillah masa untuk muhasabah diri. Renung dalam-dalam perbuatan kita sepanjang bernafas dibumi ALLAH ini. Nafas kita ada batasnya. Jangan bila roh sudah berpisah dari jasad baru baru kita tersentak. Ah, tiada gunanya kerana sudah terlambat!

Buat kamu-kamu yang pernah menyatakan kebencian dan ketidakpuashatian(ada ke perkataan ini dalam kamus dewan?tolong check kan untuk ana) melalui social network, blog ataupun bercakap direct sendiri dengan ana. Ana tidak pernah menyimpan dendam kepada sesiapa kerana diri ini juga masih terbeban dengan dosa-dosa kepada kalian. Sedang mentarbiyah diri untuk memaafkan segala kesalahan orang lain sebelum mata ini dipejamkan setiap malam.

Ya ALLAH andai kesalahan ini datangnya dari diri ini maka ampunilah aku, tetapi andai kesalahan ini datangnya dari mereka(ENGKAU lebih tahu siapa mereka) maka ENGKAU ampunilah mereka dan aku juga telah mengampunkan mereka. ALLAHumma’amin
Tubna ya ALLAH, tubna ya ALLAH. Waraja’na ya ALLAH, waraja’na ya ALLAH.
Hidup adalah untuk berlajar bersyukur meskipun tak cukup. Belajar ikhlas meskipun tidak rela. Belajar taat meskipun berat. Belajar memahami meskipun tak sehati. Belajar bersabar meskipun terbeban. Belajar setia meskipun tergoda. Belajar memberi meskipun tak seberapa. Belajar mengasihi meskipun kekadang disakiti. Belajar memaafkan meskipun kecewa. Hingga satu hari bila kita tersedar betapa semua ini telah meneguhkan hati kita, menguatkan langkah kita dan membersihkan hati dan fikiran kita.

wALLAHu’alam, ana masih berlajar dari ALLAH yang ‘ALIM=)


Al-fakirah ila Afwi RABBI,
3.52pm
09042011

Nota hati 1: Menikmati hari-hari terakhir di bilik c4.8a. Masih berbaki 2 paper sebelum bercuti panjang. Hip..hip..horey! Astaghfirullahal’azim.  Kull alhamdulillah!   
Nota hati 2: Buka-buka je blog tetiba follower bertambah secara mendadak. Garu kepala. Rupanya ada  share ana punye entri kat fbnya. Jazakillah kepada yang berkenaan=)


 Ya ALLAH!maafkan aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku..dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan..