Sunday, December 4, 2011

Musibah untuk Muhasabah

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ


Menjadi sebaik-baik hamba dan khalifah bukanlah semudah memetik dua jari. Letupan belum pasti berbunyi. Hakikatnya manusia sememangnya penuh dengan kekurangan. Namun tidak menjadi kesalahan untuk membaiki diri menjadi sebaik-baik hamba ALLAH. Teruslah melangkah meskipun dalam kepayahan. Kita adalah khalifah. Mengapa perlu diuji dengan perkara yang mudah. Sedangkan kepayahan itu perkara WAJIB sebelum tiba di Jannah. Lalu, haruskah mengalah pada takdir yang sering menghadiahkan kita dengan kesukaran yang membuatkan kita tersujud menangis hiba? Belajarlah tabah duhai hati seorang perjuang! Tangisan itu pasti tidak sia-sia andai langkahmu terus teguh menuju jalanNYA.

Berulangkali membaca mesej yang  dikirimkan oleh seorang sahabat  beberapa bulan yang lalu. Berbulan lamanya  berada di dalam inbox namun alhamduliLLAH masih berjaya menyentuh hati ini. Lama menatap. Menyelami tiap bait kata-kata yang tertera. Mengharap agar menjadi terapi buat hati di kala ini.

Ledakan emosi yang adakalanya ‘menganas’ perlu dirawat dengan cara yang paling berhikmah kerana bimbang akan merapuhkan tunjang akidah. Seringkali berhadapan dengan bisikan-bisikan yang cuba mempertikaikan ujian yang menyinggah. ALLAHuakbar, lantas cuba menepis bisikan-bisikan tersebut dengan kesaksian yang pernah di lafazkan ketika di 
alam roh yang telah dirakamkan dalam surah Al-A’raaf ayat 172:


Dan (ingatlah), ketika TUHANmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan ALLAH mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah AKU ini TUHANmu?" Mereka menjawab: "Betul (ENGKAU TUHAN kami), kami menjadi saksi." (KAM lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan TUHAN)"

Tersentap dan berderai air mata. Terasa seolah-olah kembali membuat pengakuan. ALLAH
 yang menciptakanmu maka ALLAHlah yang lebih tahu apa yang terbaik buatmu. Mengapa harus dipersoal ribut ujian yang melanda? Seakan kita terlebih pandai mengatur perjalanan hidup ini berbanding ALLAH.

Anologinya mudah, jika si ibu memaksa anaknya untuk menelan ubat yang sangat pahit untuk menyembuhkan si anak yang sedang sakit tetapi si anak menangis dan memarahi ibunya. Lantas, si anak menjerit ‘ibu jahat’. Adakah benar si ibu seorang yang jahat atau sedang berusaha untuk menyembuhkan anaknya? Jawapannya sudah tentu si ibu tidak jahat malah bertungkus-lumus ingin melihat anaknya sembuh dari penyakit.

Begitulah kita dengan ALLAH. Sering kali ‘menuduh’ ALLAH mendatangkan ujian sengaja untuk melihat kita menderita dan terseksa. Tetapi kalau kita bersabar dan berusaha melihat hikmah tersebut dengan dimensi yang tepat maka sudah tentu sikap kita berbeza. Pandangan mata hanya mampu melihat luaran ujian tetapi mata hati yang bersih mampu melihat dalaman kepada ujian tersebut. Maka, adakah patut lagi kita mempersoalkan, mengeluh dan melemparkan tuduhan demi tuduhan kepada TUHAN Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat seluruh hambaNYA? Sedangkan kedudukan kita hanyalah sebagai hamba yang tidak mengetahui apa-apa. Astaghfirullah hal’azim.. Astaghfirullah hal’azim..  Astaghfirullah hal’azim

 Lagi Sayang, Lagi Diuji

Ibn Ataillah Askandariah pernah berkata: Sesiapa yang menyangka kasih sayang ALLAH terpisah dalam takdirNYA, maka itu adalah kerana PENDEKNYA penglihatan akal dan mata hatinya.

Hakikatnya setiap saat kita diuji. Cuma dalam keadaan  kita sedar ataupun tidak. Bila diuji itu satu aras petanda kita masih dalam perhatianNYA.  Satu pendekatan ALLAH untuk mendidik manusia kerana hakikat hidup ini adalah satu ujian. Apabila sanggup hidup,mesti sanggup diuji!

ALLAH sangat rindu sendu tangisan sang hamba lantas dilemparkan ‘batu-batu kecil’ untuk menyedarkan kita kehadiranNYA. Kita punya DIA sebagai tempat mengadu. Tetapi jika kita masih degil dan alpa, maka tidak mustahil ALLAH akan melempar kita dengan ‘batu bata’. Jangan tersilap. Bila ALLAH mendatangkan ujian kepada orang yang derhaka itu bukan petanda ALLAH tidak sayangkan mereka. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun ALLAH datangkan ujian untuk kebaikan. Maka ujian adalah cara ALLAH membersihkan dosa-dosa mereka. Mendapat keampunan di atas musibah yang diterima.    

Bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana ALLAH mempunyai maksud yang baik di sebalik ujian itu. Apabila menerima ujian tidak sekalipun mereka mengeluh, “Kenapa aku diiuji”. Sebaliknya mereka akan berkata “Aku telah terpilih”. Terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi ALLAH dan terpilih untuk mendapat ganjaran berganda di sisi ALLAH. SubhanALLAH! 

Kerana Sakit Kukenal ALLAH

Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa sakit semalam, dia bersabar dan rela kepada ALLAH, maka bersih daripada dosa bagaikan ketika dia lahir dari perut ibunya. Jika engkau sakit, jangan segera meminta sembuh.

Rasulullah bersabda lagi: Ketika seorang hamba sakit, ALLAH mengutuskan dua orang malaikat kepadanya seraya berkata, “lihatlah kalian apa kata hambaKU. Jika dia berkata ‘Alhamdulillah’, maka diberitahukan kepada ALLAH, DIA lebih tahu, lalu berkata, “AKU berjanji untuk hambaKU, jika AKU mematikannya, KUmasukkan dia ke syurga. Dan jika AKU menyembuhkannya, KUganti dia dengan daging yang lebih baik daripada dagingnya serta darah yang lebih baik daripada darahnya. Dan AKU hapuskan pula keburukannya.”

Terasa mudah memberi  tasji’ kepada insan lain tapi bila diri sendiri yang berdepan dengan ujian, la haulawala quwatailla biLLAH. T__T Kekadang terasa diuji dengan tasji’ yang diberikan.  Muhasabah.

Berdepan dengan kesakitan sangat menguji. Apatah lagi bila emosi juga turut diganggu. Dan lagi bertambah-tambah sakit bila orang tidak memahami. Dituduh sengaja melayan penyakit yang dihadapi.

‘Jangan layan sangat penyakit tu

 *Menggelegak  emosi seketika. Terduduk dan rasa tak mahu bangun dah*

Berhati-hati jika ingin bercakap sesuatu sedang kita belum meletakkan diri kita di tempat orang tersebut. Berhati-hati juga jika ingin mengeluarkan kata-kata kepada orang sedang sakit. Kemungkinan kata-kata kita itu membuatkan orang yang sakit itu semakin rebah.
Mungkin kerana terlalu makan hati dengan kata-kata kita lantas orang yang sakit berdoa agar ALLAH menimpakan ujian yang sama dengan apa yang dia hadapi kepada kita. Takut-takut ALLAH uji kita  waktu itu dalam keadaan kita sendiri tidak mampu. Maka berhati-hatilah kerana emosi orang yang sedang sakit sangat-sangatlah sensitif dan kadang-kadang dia akan bertindak diluar batas kawalannya.

Bila diuji dengan kesakitan ini, maka ramailah sahabat-sahabat yang memberi saranan.

‘Pergilah jumpa ustaz bla..bla..’

‘ Nanti ada masa pergilah kat darul bla..bla.. untuk berubat.’

Senyum.  Jauh disudut hati ingin kembali sihat seperti biasa. Tapi bila mengenangkan penyakit ini ALLAH yang bagi maka hati mula dipujuk. ALLAH yang datangkan penyakit ini maka DIA juga tahu bila masanya penyakit ini akan sembuh. Biarlah kasihNYA terus  membelai dirinya. Takut mahu minta kesembuhan kerana hambaNYA ini tidak tahu apa yang tersembunyi di sebalik ujian ini. Selama 21 tahun bernafas dibumi ini berapa kali sangat sakit berbanding sihat. Malu rasanya, baru diuji dengan ujian yang sekelumit ini terus menadah tangan meminta kesembuhan.

(Note: Sufyan Al-Thauri bertanya kepada Rabiatul Adawiyah:“Kenapa kamu tidak memohon kepada ALLAH untuk menyembuhkan kamu?” Wanita sufi itu memjawab, “kenapa aku perlu merungut sedangkan ini adalah hadiah ALLAH untukku. Bukankah satu kesalahan jika tidak mahu menerima hadiah dari TUHAN? Adakah bersahabat namanya jika kehendak sahabat itu tidak kita turuti?”ALLAHu ALLAHT_T)

Renung dalam-dalam. Dalam keadaan sakit ini pun masih tak segan membuat dosa. Kalau sihat mungkin bertambah-tambah tak tahu malu membuat dosa. AstaghfiruLLAH hal ‘azim. Tidaklah ALLAH menguji seorang hambaNYA di luar kemampuannya dan setiap kali ujian itu diturunkan sebenarnya ALLAH sudah titipkan kekuatan buat kita.

Biarpun sering didatangi dengan bisikan-bisikan yang ingin mengoyah akidah ini tapi setiap kali itu jugalah ALLAH membenamkan sedalam-dalamnya iktikad kepadaNYA. ALLAHuakbar! Akhirnya tersungkur rebah dihadapanNYA. Ujiannya jika dapat diselami dengan penglihatan mata hati pasti terasa kemanisannya.

RABBI, jika penyakit ini akan membuatkan aku akan tenggelam dalam cintaNYA maka biarlah kasih sayangMU terus membelai diriku. Kupohon, ENGKAU ajarilah aku erti sabar, redha dan ikhlas menerima ketentuanMU. Tetapi jika penyakit ini akan menjauhkan aku dari mentaqarubkan diri padaMU, maka dengan sifat AS-SYAFIMU maka sembuhkanlah aku.  


Ulama’ salaf berkata: Andaikata tidak ada musibah di dunia, tentu kita datang pada hari akhirat tanpa membawa pahala!

~ALLAH kirimkan angin musibah 
untuk 
kita kembali bermuhasabah~






Jiwa sufi, fikrah haraki,

        
04122011
2.47pm

Nota Hati: Entri ini dah berkurun dalam draft. AlhamduliLLAH dengan izin ALLAH dapat juga dipublish. SyukranliLLAH:)

Photobucket
 

Sunday, November 27, 2011

Pernikahan:Kelebihan Buat Para Huffaz

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ

Perkahwinan merupakan suatu jalan yang sah di sisi syarak bagi menghalalkan perhubungan di antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Tetapi hikmah tasyri’ tidak terbatas setakat itu sahaja malahan ia menjangkau hingga kepada sesuatu yang tidak dapat difikirkan oleh manusia seperti mendapat ketengan jiwa dan kasih sayang.

Firman ALLAH SWT;
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجاً لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir." [Al-Ruum: 21]


Apabila seorang manusia itu berintimak sepenuhnya dengan Islam, maka matlamat hidupnya adalah untuk menjadikan diri, masyarakat, ahli keluarga dan negara berteduh di bawah payungan Islam kerana permulaan bagi melahirkan masyarakat yang terdidik dengan Islam adalah dengan menjadikan sebuah keluarga itu sebagai keluarga Islam. Tidak cukup sekadar diri sendiri sahaja yang Muslim tanpa mengambil kira masyarakat sekeliling yang hidup dengan noda dan terpengaruh dengan ideologi yang diperkenalkan oleh barat sehingga manusia terpesong jauh daripada landasan sebenar yang telah diperkenalkan oleh Ad-din.
Pernyataan ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi SAW dan kalam RABBUL JALIL:

من بات، ولم يهتم بأمر المسلمين، فليس منهم.
Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam maka dia bukan dikalangan mereka."
فَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهاً آخَرَ فَتَكُونَ مِنَ الْمُعَذَّبِينَ{213} وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ{214} وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: 213. "Maka janganlah engkau (Wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama ALLAH, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa."
214. "Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat."
215. "Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman." [Al-Syuaraa’: 213-215]

Kelebihan Buat Para Huffaz.

Beberapa kisah yang disebutkan oleh ALLAH di dalam Al-Quran yang berkaitan dengan perkahwinan sebenarnya menjadi suatu kelebihan buat para huffaz. Para huffaz sinonim dengan gelaran Al-Quran bergerak sepatutnya menjadikan kelebihan yang ada di dalam diri mereka sebagai petunjuk dan benteng di dalam membina sebuah kehidupan khususnya kehidupan berkeluarga.

Al-Quran bukan sekadar untuk bacaan tetapi lebih besar peranannya sebagai sebuah perlembagaan samada di dalam masyarakat, keluarga dan lebih-lebih lagi sebagai perundangan di dalam sesebuah negara. Malah lebih tepat lagi sekiranya para huffaz menjadikan “Al-Quran Dusturuna” (Al-Quran Perlembagaan/Panduan Kami) sebagai syiar di dalam meniti kehidupan yang terlalu banyak dengan ujian dan keperitan lebih-lebih lagi di dalam mengharungi perjuangan menegakkan agama ALLAH SWT.

Al-Quran dipelihara oleh ALLAH daripada sebarang penyelewengan dan kesalahan sebagaimana fiman ALLAH SWT

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجَا{1} قَيِّماً لِّيُنذِرَ بَأْساً شَدِيداً 
مِن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْراً حَسَناً
Maksudnya: 1. "Segala puji bagi ALLAH yang telah menurunkan kepada hambaNYA (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu Yang bengkok (terpesong):"
2. "(bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi Pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi ALLAH, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik." [Al-Kahfi: 1 & 2]

Maka dengan jaminan ALLAH ini, selayaknya Al-Quran itu diletakkan di tempat yang paling atas kerana ALLAH menyebutkan perjalanan perjuangan menegakkan agama ALLAH ini penuh dengan kesusahan dan kepayahan.

لَوْ كَانَ عَرَضاً قَرِيباً وَسَفَراً قَاصِداً لاَّتَّبَعُوكَ وَلَـكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya: "Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah dengan nama ALLAH dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang ALLAH mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)." [At-Taubah: 42]

Membina sebuah keluarga juga tidak semudah yang disangkakan. Perkahwinan bukan hanya sekadar melafazkan ijab dan qabul, tetapi perkahwinan merupakan langkah pertama untuk membina sebuah daulah Islamiyyah. Maka perkahwinan dan daulah adalah suatu elemen yang saling berkait kerana dengan perkahwinan maka akan lahirlah generasi-generasi pejuang yang akan meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh para nabi dan rasul. Tugas ini tidak hanya tertumpu kepada para huffaz, tetapi ke atas keseluruhan ummat manusia cuma para huffaz lebih mempunyai kelebihan kerana keseluruhan perlembagaan ini sudah dititip sepenuhnya di dalam jiwa dan seterusnya akan dizahirkan di dalam diri dan dicorakkan di dalam layar kehidupan yang bakal ditempuhi seterusnya sehinggalah bertemu dengan ALLAH RABBUL JALIL.

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا
Maksudnya: "Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada ALLAH (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." [Al-Ahzab: 23]

^_______^
Jangan menyangka kamu tidak terpilih sedangkan ALLAH sedang memilih padahal kamu tidak mengetahui. Bila semuanya sudah tersingkap lalu kamu akan tertunduk malu kerana sudah berburuk sangka kepada PERANCANG terbaik hidupmu. Maka BERSABARLAH hingga kamu tidak mampu lagi untuk bersabar!

Sabar menanti, 

      
Photobucket
 

Thursday, November 17, 2011

Disebalik TarbiahNYA

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ 


Sesekali ingatan kepada peristiwa lepas menyapa di benak. Seringkali jua diri ini menepis sapaannya. Mungkin kerana sukar untuk menerima sebuah hakikat kebenaran. Dikhianati…tercalar nilai kepercayaan pada sebuah persahabatan. Namun ALLAH Maha Mengetahui, apa yang terbaik buat hambaNYA…mungkin jua kerana itu DIA terus-menerus mengingatkan memori silam yang pedih dan pahit itu. Tujuannya hanya satu…berfikir!

Seketika diri ini termangu, merenung maksud tersirat disebalik yang tersurat… Apakah ia sekadar mengingatkanku agar jangan mudah mempercayai orang lain? Itu ada benarnya, tapi bukan keseluruhannya. Bila tak berhasil menemui jawapannya, maka ia dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mungkin sekadar perasaan pada sebuah lamunan yang tak berkesudahan.

Dalam tak sedar,bayangan itu masih menyinggah…menarik diri, hati dan fikiran ini untuk mencari rahsia yang tersembunyi…hikmah yang terselindung. Pasti ada mesej yang ingin disampaikan.

Pada-MU ya ALLAH ku adukan segala
Merintih,merayu,mengharap belas kasihNYA.
Agar ditunjukkan jalan kebenaran dan keselamatan.
Agar dugaan ini berjaya diharungi. Kerana menjadi mukmin bertaqwa itu matlamat hidupku, Menempa Syurga abadi itu cita-citaku. Berikanlah aku petunjuk Ya ALLAH,

Agar jalanku terang disuluh cahaya melalui lorong berliku ini.
Peliharalah daku Ya MUHAIMIN, Agar langkahku terhindar dari dosa dan noda.Tatkala hal yang sama diungkit lagi oleh pihak lain, diri kembali terpaku lantaran mata dan hati jauh mengimbau… mengapa setiap kali dibicarakan,hati ini akan sakit? Bukan sakit yang biasa,tapi sakit kerana pedihnya hati menanggung beban.Bagaimana dapatku hapuskan beban ini Ya ALLAH?

Ya ALLAH, apakah aku ada menyimpan dendam di balik kisah ini? Ya ‘AZIZ, seandainya ikhlas itu adalah syaratnya, maka kini aku ikhlaskan seluruh jiwa ragaku menerima cubaan ini.

Ya RAHMAN, jika redha itu adalah solusinya,maka bersaksilah bahawa kini aku berlapang dada menerima takdirMU… Cukuplah sakit ini mendera hati dan perasaanku… Jangan biarkan ia berlarutan, sebaliknya balutilah ia dengan keampunanMU
Agar terubat luka semalam dengan sentuhan kasih dan sayangMU


Ya ALLAH ENGKAU lindungilah aku, Bekalkanlah daku dengan limpahan iman, Agar tabah menghadapi dugaan, Agar tidakku terhenti di pertengahan,Kini di sini aku berdiri
Bersama harapan yang tulus suci,Agar terbitlah kembali mentari pagi,Setelah malamku berkalut benci

Moga di akhirnya hasanah yang diperoleh. Mungkin ini rahmatNYA. Dalam ujian yg kecil, DIA ajarkan banyak perkara…. Di sinilah aku mempelajari erti sabar, ikhlas, redha dan lain-lain. Namun apa yang paling berharga adalah nilaian terindah dalam membina hubungan dengan ILAHI. Mudah-mudahan sentiasa dalam rahmat dan redhaMU

Hakikatnya, pengalaman lalu bukanlah untuk diri hilang percaya pada yang lain tetapi mengajar erti kasih sayang sesama insan. Perlu memahami dan menghormati hak sesama manusia. Tak dinafikan lagi, tarbiyah ALLAH sangat dalam maksudnya, halus penyampaiannya tetapi indah perasaanya. Moga kita dikurniakan hikmah agar bisa menyingkap siratan makna disebalik setiap suratan ujian
.
Adakalanya hidup bersendirian itu merupakan satu nikmat kerana pada ketika itu hati akan menjadikan RABB sebagai peneman. ALLAH teramatlah dekat. Lebih dekat dari urat leher kita. Namun dek kerana adanya peneman-peneman lain kita kadangkala lupa akan kehadiranNYA disisi kita yang menanti doa-doa kita untuk dimakbulkanNYA, yang menanti zikir tanda ingatan kita padaNYA, yang menanti munajat kita di sepertiga malam, yang rindukan titis air mata taubat padaNYA. Ya ALLAH, pahatlah cintaMU dihatiku ini agar aku tidak lagi bimbang dan takut dengan segala kemungkinan yang akan mendatang.


Photobucket
 

Friday, November 11, 2011

Dapur,Jalan ke Syurga untuk Wanita

 ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ




Salah satu pesan orang tua kepada  anak perempuannya adalah “Cinta suami bermula dari perut”.
Ketelitian seorang wanita dalam memberikan hidangan yang memanjakan lidah suaminya, memang tidak hanya berhasil memikat kasih sayang dan perhatiannya, namun juga terbukti berjaya menghidangkan kebahagiaan untuk rumah tangga mereka.
Suami mana yang tidak akan senang melihat isteri yang begitu serius  melayaninya, serta mengambil berat soal makan minumnya. Bagi suami yang bijak menghargai, perkara ini membuatkan kekurangan wanita yang menjadi isterinya seolah – olah tertutup oleh perbuatannya yang menjaga cita rasa lidah suami. Dan tentunya untuk si isteri, kebahagiaan sudah pasti diperolehinya kerana  redha suami memang menjadi tujuan  dari perjuangan seorang wanita muslimah.
Maka, betapa ruginya  jika masih ada beberapa orang yang berfikir bahawa dapur bukanlah tempat wanita moden dalam `berkarier`. Bahkan ada sebahagian dari mereka dengan ikhlasnya berbahagi pahala dengan pembantu rumah, malah  menyerahkan semuanya kepada pembantu. Beribu alasan kesibukan dan ketidakmampuan diberikannya, termasuk alasan bahawa zaman sekarang pekerjaan rumah hanya mengikat  perkembangan kreativiti wanita.
Hanya orang- orang yang belum mengerti kedamaian melayani, yang akan berfikiran bahawa pekerjaan dapur hanya merendahkan wanita. Begitulah pendapat kebanyakan mereka – Selalu di dapur, maka  masa depan wanita tamat.
Namun hal ini berbeza dengan fikiran  wanita yang menjunjung tinggi sebuah keikhlasan. Melayani suami bukan bererti memasrahkan diri menjadi pelayan. Melayani bererti meningkatkan darjat diri, dari yang hanya berfikir tentang diri sendiri, dia tanggalkan ego demi untuk membahagiakan orang lain.
MasyALLAH, ini bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan, tetapi juga tidak mustahil dijalankan. Wanita ajaib bagaimana  yang dapat buat seperti ini, kecuali akan menjadi berkat untuk pasangannya. apa – apa pekerjaan rumah yang begitu berat, betapa banyak kesibukan diluar yang menyita waktu mereka, namun seorang wanita solehah akan tetap memfokuskan bahawa keluarga adalah nombor satu, dan kerana memang itulah tanggungjawab untuknya, dari ALLAH Sang Maha Penguasa.
Fikirannya  selalu terfikir untuk  menyiapkan apa yang dia boleh hidangkan untuk suami tercinta.  Pahala untuknya akan mengalir dengan deras dan tiket untuk masuk ke dalam syurga ALLAH insyALLAH akan digenggaman.
Memang masih banyak cara untuk membahagiakan suami kita selain dengan memasak makanan kesenangannya. Namun, adakah cara yang lebih baik untuk memenuhi selera makan mereka selain dengan memenuhinya dengan tangan kita sendiri. Pastilah sebuah kebanggaan bagi kita dapat merawat suami sebagai sebahagian dari amanah kita yang kita lakukan dengan tangan kita sendiri, dan menjadikan kita peribadi yang dapat dipercayai dalam menjaga amanah.
Maka jangan pernah melecehkan ketentuan ALLAH, dan jangan menunggu sampai hak  itu diambil ALLAH barulah kita menyedari kekeliruan kita. Maka sebaiknya kita mulai menumbuhkan rasa malu, saat mengetahui bahawa sang suami cenderung menyukai makanan di luar dan atau buatan orang lain. Manfaatkan waktu sebaik mungkin, kerana sungguhnya ALLAH menyediakan syurga untuk hambanya yang bersungguh- sungguh dalam belajar.
Siapa pun anda, apa pun kedudukan dan pekerjaan serta kesibukan saat ini, jangan pernah menganggap remeh hasil tangan kasih sayang dari sebuah ruangan kecil yang bernama dapur. kebahagiaan suami, perhatian dan kasih sayangnya dapat anda ikat dari sana.  So, mengapa tidak buru- buru memulainya sekarang?
Selamat memburu pahala..




Bakal suri ummah;p
  Photobucket

Monday, November 7, 2011

Bertanya Tentang Cinta

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ



Aku bertanya pada alam semesta tentang erti CINTA,
lalu satu demi satu mereka menjawab…
Bumi menjawab:
“CINTA adalah hamparan tempat tumbuh segala bahagia dan harapan akan itu. Ia memang dipijak dan dihinakan, tetapi ia tak peduli. Cinta hanya memberi, dan itu sajalah keinginannya.”
Air menjawab:
“CINTA adalah hujan yang menumbuhkan benih-benih rasa kesukaan, kerelaan akan kerinduan dan kesenduan, atau samudera kasih yang luas sebagai naungan segala perasaan
Api menjawab:
“CINTA adalah panas yang membakar segala, ia memusnahkan untuk dapat hidup dan menyala. Demi merasakannya, makhluk rela terbakar dalam amarah dan kedurhakaan.”
Angin menjawab:
“CINTA adalah hembusan yang menebar sayang tanpa tahu siapa tujuannya. Orang kata, ia buta, sebab itu inginnya. Ia tak kelihatan, tetapi tanpanya segala jiwa akan hampa.”
Langit menjawab:
“CINTA adalah keluasan tanpa batas. Luasnya tiada makhluk yang tahu. Kecuali cinta itu bahagia yang biru, atau derita kelam yang kelabu
Matahari menjawab:
“CINTA adalah hidup untuk memberi tenaga kehidupan dan cahaya harapan. Ia tak akan jemu memberi sampai ia padam dan mati.”
Pohon menjawab:
“CINTA adalah akar yang menopang segalanya. Ia ikhlas sehingga tak perlu dilihat dan dikenal. Tetapi ia terus memberi agar batang  tetap kukuh abadi, berbuah dan berbunga indah.”
Gunung menjawab:
“CINTA adalah rasa yang menjulang tinggi. Rasa itu tenang dan menyejukkan. Namun saat gundah, Ia akan meleburkan sekelilingnya dengan lautan lava cemburu yang membara.”
Akhir sekali, Aku bertanya pada CINTA itu sendiri:
“Wahai CINTA, apakah sebenarnya erti dirimu?”
CINTA menjawab:
“CINTA adalah engkau patuh terhadapNYA, meskipun engkau tidak melihatNYA. Engkau tidak menciumNYA atau merabaNYA, tetapi engkau patuh kerana engkau merasa akan hadirNYA. Sebab CINTA bukan indera, tetapi adalah rasa.”
“CINTA adalah engkau takut akan amarahNYA, dan takut jika DIA meninggalkanmu. Takut jika DIA tidak menyukaimu lagi. Hingga engkau mencari-cari alasan untuk selalu dekat dengannya, bahkan jika engkau harus menderita, atau yang lebih mengerikan dari itu.”
“CINTA adalah engkau menyimpan segala harapan kepadaNYA tidak pada yang lain. Engkau tidak mendua dalam harapan, dan demikian selamanya. Cinta adalah engkau setia menjadi hambaNYA, yang engkau hidup untukNYA dan mati untuk RedhaNYA akan dirimu, hidup dan mati untuk Dia. Engkau berusaha sekerasnya agar engkau diakui, hanya sebagai hamba.”
“Diatas segalanya, CINTA adalah engkau merasa kasih sayang yang tunggal yang tidak engkau berikan pada yang lain, selain kepadaNYA. Engkau rindu akan hadirNYA dan melihatNYA. Engkau suka apa yang DIA sukai dan benci apa yang dia benci, engkau merasakan segala ada padaNYA dan segala atas namaNYA.”
Aku bertanya lagi pada CINTA:
“Dapatkah aku merasakannya?”
Sambil berlaru CINTA menjawab:
“Selama engkau mengetahui hakikat penciptaanmu dan bersyukur dengan apa yang DIA berikan, maka itu semua akan engkau rasakan, percayalah padaku….”

Aku pun Berteriak, “Wahai Tuhan Yang Maha Pencinta, terimalah cintaku yang sederhana ini, izinkanlah aku merasakan cintaMU yang Maha Indah…!”





Photobucket
 

Mithaqan Qholizo:)

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم  AlhamduliLLAH thumma alhamduliLLAH 30 JamadilAwwal 1436H | 21 Mac...