Saturday, May 8, 2010

Turning Point : Sebuah Perkahwinan



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, jemari kembali untuk ditarikan bersama semerbak haruman mawar. Sekadar berkongsi picisan buah fikiran yang dhoif dari si kecil yang jahil. Bicara soal perkahwinan seusia 20 tahun, muda sangatkah? Tak apa lah, sekadar buah fikiran dari si kecil, mungkin ada kebaikan dan manfaatnya insya Allah bagi mereka yang sedang menuju ke arah gerbang perkahwinan mahupun yang sedang merangka untuk mencari calon bagi mengisi kekosongan atau buat mereka yang tidak terasa mahu berkahwin. Ayuh, santai-santai saja :)

Dalam hidup ini, apakah perkara yang paling 'besar' dan sangat penting? Ada yang menjawab mahu mengambil jurusan apa semasa di universiti, mahu mengambil aliran apa selesai PMR atau sebagainya. Masing-masing ada perkara 'besar' dalam kehidupan, setapak demi setapak melangkah akhirnya tiba pada perkara yang menjadi turning point seorang hamba (bagi ana lah) iaitu berkahwin.

"Kak, adik tak nak jadi dewasa. Adik takut jadi macam akak, banyak sangat ujian yang akak hadapi, adik nak kekal macam sekarang je."

"Adik... Setiap orang sama ada lelaki mahupun perempuan ada ujiannya. Setiap orang ada ujian."

Sedang cuba berkongsi buah fikiran pada seorang akhawat di hadapan. Entah, dia bimbang benar dengan ana dan ana tahu kerap pula dia mengalirkan air mata untuk 'melepaskan' ana. Ana masih tersenyum, merenung ke dalam matanya.

"Maksud akak?"

"Maksud akak... Mungkin seorang muslimah itu belum bersedia nak kahwin tetapi berderet orang taqdim (melamar), jangan rasa gundah gulana. Kalau tidak bersedia, tolaklah. Dalam Islam, tidak ada istilah kahwin paksa. Bahkan perkahwinan paksa tidak sah dalam Islam."

Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: "Tidak akan berkahwin seseorang wanita sehinggalah ia meminta, dan tidak akan berkahwin seorang dara sehingga ia meminta keizinan (untuk dikahwini)." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimanakah cara untuk mengetahui keizinannya?" Baginda SAW menjawab: "Apabila ia diam." [Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya (jilid 2 m/s 434), Bukhari di dalam Sahihnya (jilid 5 m/s 1974) dan Muslim di dalam Sahihnya (jilid 2 m/s 1032)].

Diriwayatkan lagi: Bahawa seorang lelaki telah mengahwini anak perempuannya sedangkan anaknya itu tidak menyukai, lalu ia bertemu dengan baginda SAW dan berkata: "Sesungguhnya bapaku telah mengahwinkan aku dengan seorang lelaki padahal aku tidak menyukainya, dan sepupuku telah pun meminangku." Maka baginda SAW bersabda: "Tiada perkahwinan padanya, kahwinlah dengan orang yang kamu kehendaki." [Riwayat Nasaie di dalam Al-Kubra (jilid 3 m/s 282)].

Daripada Khunsak binti Khizam ia berkata: "Bapaku mengahwiniku padahal aku tidak menyukainya walaupun aku masih dara, lalu aku mengadu kepada baginda SAW perkara tersebut kepada Rasulullah SAW, baginda bersabda: Jangan dinikahinya ketika ia tidak menyukainya." [Riwayat Nasaie di dalam Al-Kubra (jilid 3 m/s 282), dan Tabrani fil Kabir (jilid 24 m/s 251)].

Menyambung kembali kata-kata pada seorang akhawat yang amat ana kasihi.

"Dik, ada juga muslimah yang dah berusia dan sangat ingin berkeluarga (berkahwin) tetapi Allah ujinya dengan tidak ada yang melamarnya. Itu ujian dik. Bahkan muslimin juga sama, ada muslimin yang berhajat pada seorang gadis dan membuktikan kesungguhan betapa seriusnya dalam urusan tersebut dan taqdim melalui orang tengah atau ibubapa gadis tu, tapi gadis tu belum bersedia dan menolak. Itu juga ujian buat lelaki. Bahkan ada lelaki yang tidak berkenan pada seorang gadis yang mengejarnya, itu juga sebuah ujian."

Hidup ini satu ujian. Setiap tingkatan iman ada ujian yang berbeza, ada yang diuji dengan nikmat kemewahan dan kemiskinan, kesihatan dan kesakitan, ketenangan dan kerunsingan. Semuanya ujian, maka anggaplah semuanya ibarat semilir angin lalu yang berlalu... Menenangkan pelupuk emosi dan teruslah berlari kepada Nya, mendakap erat dalam pelukan Nya agar setiap ujian yang hadir semakin membuat kita dekat dengan Nya.

Ketenangan itu dari Allah, maka hampirilah Allah untuk mendapatkan ketenangan tersebut.

Dia, satu-satunya yang Maha Mengetahui segalanya. Ilmu kita terlalu terbatas untuk menafsir perancangan Allah, maka anggap saja ada kebaikan yang jauh lebih baik menanti kita. Bersangka baik dengan Allah.

Buat muslimah, bila lamaran datang... Janganlah gelabah sangat, kalau tidak bersedia maka tolaklah pinangan tersebut. Jika lamaran tidak juga datang-datang, insya Allah ada yang Dia mahu berikan tidak semestinya urusan jodoh, mungkin sesuatu yang lebih baik di sisi Nya.

Buat muslimin, bila lamaran di tolak... Positiflah! Mungkin dirimu belum bersedia untuk memimpin isteri dan anak-anak, maka sentiasa membaiki potensi diri supaya lebih bersedia menggalas sebuah tanggungjawab yang berat di hari kemudian. Kiranya lamaran diterima, maka bersiaplah untuk perpindahan sebuah tanggungjawab. Imam itu bukan sekadar imam solat tetapi imam dalam urusan agama, dunia sehingga akhirat. Beratkan? Maka, berusahalah menjadi yang terbaik walaupun bukan yang terbaik supaya kelak Allah memberikan yang terbaik untukmu.

Ada juga akhawat yang aktif dalam jemaah takut untuk berkahwin sehingga meletakkan pelbagai syarat. Tidak salah, perkahwinan itu sangat besar implikasinya kepada seorang wanita. Memang seorang wanita sangat berhak atas kehidupannya (urusan agama, dunia dan akhirat) bahkan memilih suami itu sama juga kita memilih aqidah. Maka, janganlah kecil hati apabila dikatakan 'terlalu memilih' kerana alam perkahwinan bukan seperti permainan. Ianya sebuah kehidupan yang penuh dengan gelombang!

Cuma, ana tersenyum lebar apabila akhawat mengatakan tidak mahu berkahwin kecuali sudah wajib untuk berkahwin. Muhasabah sendiri, hukum asal perkahwinan itu harus.

"Kenapa tak nak kahwin? Kenapa takut sangat?"

"Ramai yang bila kahwin, futur... Hanya suami yang aktif, isteri tidak lagi melibatkan diri. Blog juga berubah corak. Sebelum kahwin, terhias indah pelbagai tarbiyah dan fikrah. Selepas kahwin, gambar anak demi anak. Dari merangkak, telentang, langkah pertama semuanya di catat. Tiada lagi 'roh' perjuangan."

Senyum lagi.

Husnudzon sajalah. Teringat kata-kata seorang ukhti yang ana kasihi kerana Allah dan Rasul Nya.

"Adik, perkahwinan itu sebenarnya telah mengecilkan skop dakwah. Bila dah kahwin, lingkungan seorang perempuan itu adalah suami dan rumahnya (anak-anak dsb). Bukan lagi sahabat-sahabatnya."

Muhasabah.

Benar, sebuah perkahwinan memberi ruang dan peluang kepada seorang wanita untuk memudahkan urusannya. Gelanggang dakwah yang kononnya kecil (rumah) itu sebenarnya memainkan peranan yang teramat besar. Sebuah masyarakat bermula dengan sebuah keluarga, sekiranya peranan seorang isteri dan ibu dimainkan sebaik-baiknya oleh seorang perempuan, insya Allah akan melahirkan generasi yang berkualiti. Bukankah generasi berkualiti ini akan masuk dalam komuniti masyarakat?

Sekiranya generasi berkualiti asuhan seorang isteri dan ibu yang 'kononnya' futur di jalan dakwah ini istiqamah mentarbiyyah anak-anak dengan acuan Quran dan Sunnah, insya Allah mereka ini bukan saja aset (saham) akhirat bahkan menjadi satu tunas-tunas Islam untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

"Percaya tak kalau Syira cakap, mad'u paling memberi ujian dan juga mad'u paling berpotensi adalah isi dalam rumah. Maksudnya ahlul baeyt (ahli keluarga)?"

"Akak percaya!"

"Kenapa akak percaya?"

"Sebab awal dakwah Rasulullah juga bermula dengan keluarga, kemudian barulah secara terang-terangan."


Baiti jannati, sebelum menikmati kediaman syurga yang belum pasti layak didiami, moga taman-taman syurga (rumah tangga yang dilimpahi sakinah, mawaddah wa rahmah) di dunia akan menjadi wasilah untuk menyempurnakan kebahagiaan jiwa. Hidup ini hanya untuk dilalui BUKAN untuk diramaikan!
Ana pandang adik ana... Arh, si kecil itu selalu buat darah ana mendidih. Selalu saja menduga emosi dan bahkan terkadang menduga iman!

Mahu ketawa atau tidak, terpulang. Tetapi, untuk berdepan dengan si kecil ini... Ana TERPAKSA membelek sebuah buku yang mungkin tidak dibaca oleh sahabat seusia ana. "Psikologi : Ibubapa Muslim Profesional Berkualiti".

Dahulu, ana sangat keras. Kalau sekali dua disergah lambat solat kerana asyik melayan TV, maka dengan selamba badak sumbu ana off TV dan tarik simkad Astro. Dengan wajah masam mencuka, adik mengambil wuduk. Muncung mulutnya 2 inci... Solat dengan caranya, kemudian menjeling ana. Biasalah, merajuk.

"Adik tu kecil lagi... Tak boleh la paksa dia macam tu."

Abi menegur cara ana yang keras. Memang keras! Darah muda barangkali.


Sekarang, bila Adik lagho dengan kerja sekolah mahupun lewat menunaikan solat. Mudah saja.

"Adik dah solat?"

"Belum?"

"Kalau belum solat, kene buat apa?"

"Kena solat lah!"

"Pandainya... Habis tu tunggu apa lagi?"

Senyum jer, senyum ada makna tuh! :D

Maka, berlalulah Adik... Solat kerana tahu, kalau belum solat kenalah solat!

Tidak sia-sia ditarbiyyah oleh Allah di dalam rumah, dilatih untuk sabar dengan kerenah Adik. Bukan mudah menghidu emosi dan kelakuannya, bukan mudah untuk menukar moodnya. Semuanya memerlukan skill, tidak sia-sia buku "Psikologi : Ibubapa Muslim Profesional Berkualiti" dihadami. Berguna di masa depan, insya Allah. (",)

Akhawat ku sayang!

Janganlah menganggap perkahwinan itu memutuskan saluran untuk berdakwah. Ianya anugerah Allah kepada muslimah, gelanggangnya kecil tetapi peranannya masya Allah sangatlah besar! Para suami juga, bila 'ditinggalkan' isteri di rumah untuk gerak kerja dakwah usahlah terus membiarkan hatinya kosong, hati yang mekar dengan tarbiyyah tidak selamanya subur kalau tidak digembur dan disirami. :)

Umpama sebatang pokok. Sekali dua disiram, gembur dan baja... Maka suburlah ia. Kalau dibiarkan tanpa siraman, baja dan juga digembur tanahnya, lama kelamaan layu dan matilah ia!

Perlunya suami untuk konsisten (istiqamah) menyampaikan ilmu, menyuburkan hati isteri yang seharian sibuk dengan urusan rumahtangga. Sesekali, hatinya terusik untuk kembali ke gelanggang dakwah di luar tetapi demi kebajikan anak-anak dan cita-cita murni untuk mendidik anak-anak dengan tangan sendiri ditahan saja kemahuan hati, raikanlah hati seorang isteri dengan penyuburan ilmu agar dirinya terus merasa indahnya tarbiyyah hatta rutin hariannya mencongak dan merangka draf pendidikan anak-anak.

Apatah lagi isteri yang bekerja, peranan suami perlu lebih hebat. Tidak sekadar simpati dengan isteri yang kepenatan bekerja kemudian mengurus anak-anak pula, tetapi empati... Turut merasa apa yang dirasakan oleh isteri. :)

"Usia adik muda sangat... Terlalu muda."

Tersenyum lagi.

Tawakkal alaLLAH. Usia 45 tahun saja masih belum cukup matang, lihatlah bagaimana orang yang terlebih dahulu makan garam (patutlah hipertensi!)... Masih belum mampu mengawal emosi, tidak cukup matang!

Penanda arasnya ialah agama.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia Nya, kerana Allah amat luas (rahmat dan limpah kurnia Nya), lagi amat mengetahui". [Surah An Nur : 32]

Lelaki yang menjaga hal ehwal agamanya akan berusaha untuk menyempurnakan diri yang tidak sempurna, berusaha menjadi yang terbaik walaupun bukan yang terbaik! Demi sebuah tanggungjawab kerana agamanya... Maka, carilah lelaki yang menjaga urusan agamanya!

Wanita yang menjaga hal ehwal agamanya akan berusaha menyempurnakan diri yang tidak sempurna, berusaha menjadi yang terbaik walaupun bukan yang terbaik! Demi amanah dari Allah dan tanggungjawab sebagai isteri. Isteri yang solehah akan sentiasa berusaha membaiki diri untuk memenangi hati suami...! Maka, carilah wanita yang menjaga urusan agamanya!

Untung pada mereka yang benar-benar memilih kerana agama! Kelak bahtera tersasar laluan dipukul ombak besar, masih tahu memegang kompas kembali ke pangkal jalan. Insya Allah.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda : "Tiga orang yang selalu diberi pertolongan Allah adalah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah, seorang penulis yang selalu memberi penawar & seorang yang menikah untuk menjaga kehormatannya." [HR Thabrani]

p/s : Jangan lupa menyenaraikan list yang PERLU ada pada diri sebelum meletakkan list yang MESTI ada pada pasangan.

copied from:here

Mithaqan Qholizo:)

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم  AlhamduliLLAH thumma alhamduliLLAH 30 JamadilAwwal 1436H | 21 Mac...