الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على نبيه الأنبياء والمرسلين،والهادي إلى صراط المستقيم، وعلى آله المكرمين وصحبة الكريم، ومن تبعهم بإحسن إلى يوم الدين
Setelah begitu resah, bimbang dan sedih
atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth)
di gua Hira’. Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliah hinggap pada
hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan
buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan
“penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.
Bertahun-tahun, baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika,
untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan Arab Jahiliah.
Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun
belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu
sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.
Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan
petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat
itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat
luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah
terisi.
Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat
besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah.
Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!
Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri
lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang
bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu
gelanggangnya, tetapi semesta alam. Roh iqra’ yang hebat itu
disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak
“selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di
relung samar Jahiliah.
Apakah malam Al Qadar 1431 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar.
Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal
hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah
hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran
seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui
malam yang agung dan hebat itu?
Apabila bercakap tentang Lailatul Qadar, terdapat berbagai-bagai
pendapat tentang tanda-tanda berlakunya malam tersebut. Ada yang
mengatakan apabila berlaku Lailatul Qadar, semua pokok menunduk rukuk
dan semua sungai membeku dalam kadar waktu yang singkat.
Ada pula keterangan yang mengatakan cuaca pada siang hari menjadi
tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk bahana Lailatul Qadar pada
malamnya. Pendek kata, ada berbagai-bagai pandangan dan tanggapan.
Apakah semuanya benar? Wallahua’lam. Pada hal di dalam Al-Quran atau
hadis-hadis Rasulullah saw malam Al Qadar masih kekal tersembunyi dan
misteri untuk ditentukan secara pasti.
Terdapat sikap sesetengah kalangan yang suka menunggu-nunggu
tanda-tanda berlaku Lailatul Qadar untuk beribadah semaksima mungkin.
Hanya pada malam yang dimaksudkan itu! Apakah cara ini betul?
Sedangkan, Islam tidak mengajar demikian. Memburu satu malam
bernama Al Qadar memerlukan ribuan malam sebelumnya yang dipenuhi
dengan aktiviti dan usaha membersihkan hati secara konsisten.
Ia bagaikan atlet 100 meter yang
berlari beribu-ribu kilometer dalam tempoh beribu-ribu jam sebagai
persediaannya untuk menghadapi hari perlumbaan yang hanya mengambil
masa tidak sampai 1 minit dengan jarak 100 meter.
Malam Al Qadar itu umpama sebuah “kapal terbang” yang memerlukan landasan yang selamat dan cukup panjang untuk mendarat.
Jika landasannya pendek dan terhalang, kapal terbang tidak akan
mendarat. Landasan Lailatul Qadar ialah hati yang bersih. Mana mungkin
malaikat yang bersih dan suci itu boleh berdamping dengan orang yang
hatinya masih kotor dengan sifat mazmumah apatah lagi kalau ada
saki-baki syirik? Dan mana mungkin hati yang kotor dapat dibersihkan
hanya dalam jangka masa satu malam?
Hati mesti dibersihkan sejak akil baligh hinggalah akhir hayat.
Bersihnya hati itu, mencerahkan peluang kita untuk bertemu malam Al
Qadar. Sebaliknya, jika hati dibiarkan kotor, dan hanya berangan-angan
untuk bertemu dengan malam itu dengan “tekaan” dan “ramalan” sahaja,
insya-Allah, kita tidak akan dapat menemuinya.
Allah swt tidak memberitahu kita rupa bentuk atau tanda-tanda
Lailatul Qadar. Kita juga tidak diberitahu bilakah masanya malam itu?
Namun apa yang Allah swt beritahu kita dalam surah Al-Qadr ialah
tentang keutamaan Lailatul Qadar. “Malam kemuliaan itu adalah lebih
baik daripada seribu bulan.” Apakah maksud Allah swt dengan ungkapan
“lebih baik daripada seribu bulan?”
Kita harus faham bahawa surah berkenaan Lailatul Qadar sebenarnya
membicarakan tentang penurunan Al-Quran. Malam diturunkan Al-Quran itu
disebut Lailatul Qadar. Walau pun ia berlaku hanya satu malam sahaja,
tetapi satu malam itu jauh lebih baik daripada 1000 bulan yang dipenuhi
dengan kegelapan syirik, kesesatan dan sebagainya.
Menurut pandangan kebanyakan ulama tafsir, angka 1000 bulan ini tidak harus diertikan dengan bilangan antara 999 dan 1001. Sebaliknya
ia dinisbahkan kepada nilai atau keutamaannya malam itu berbanding
dengan bulan-bulan yang lain. Surah Al-Qadr juga membicarakan tentang
para malaikat yang turun disertai Jibrail a.s dengan izin Allah swt
dengan membawa urusan. Jibrail turun menyampaikan wahyu yang terakhir
kepada Nabi saw. Ini bermakna baginda telah mendapat Lailatul Qadar.
Namun kini, apakah urusan para malaikat turun ke bumi pada setiap bulan Ramadhan setelah kewafatan baginda?
Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah
Yang Maha Suci. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada
malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis
Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam
(yakni di sepertiga malam) tidak seramai pada Lailatul Qadar. Apatah
lagi pada malam itu, malaikat yang turun bukanlah malaikat-malaikat
yang sembarangan, tetapi yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.
Lazimnya malaikat turun untuk membawa amalan manusia misalnya
doa-doa, istighfar atau hajat-hajat mereka kepada Allah swt. Namun pada
Lailatul Qadar, tugas mereka adalah lebih daripada itu. Menurut
pendapat ulama kontemporari, malaikat yang turun bukan sahaja untuk
membawa amalan manusia pada malam itu, tetapi turut bertamu dalam
hati-hati mereka yang telah mendapat penghormatan daripada Allah swt.
Siapakah mereka yang layak menerima tetamu daripada malaikat yang
diutuskan Allah ini? Apa yang pasti, jiwa-jiwa yang kotor sudah tentu
tidak layak mendapat kunjungan mereka. Malaikat Jibrail diperintahkan
turun bertemu dengan Nabi saw pada Lailatul Qadar. Semenjak malam itu,
Jibril a.s sentiasa diutuskan kepada baginda untuk menyampaikan wahyu.
Bermula pada malam itu, apa sahaja yang dilakukan oleh Rasulullah
saw semuanya mendapat bimbingan terus dan intim daripada Allah swt. Apa
sahaja yang diucapkan oleh baginda semuanya berpandukan wahyu. Ini
berbeza dengan keadaan sebelum baginda menjadi nabi. Rasulullah saw
terpaksa juga berperang atau berjuang antara keinginan negatif dengan
tuntutan fitrahnya. Hanya setelah mendapat Lailatul Qadar, bisikan
malaikat dan tuntutan fitrah sentiasa dapat mengalahkan bisikan nafsu
dan syaitan.
Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendapat Lailatul Qadar, terdapat seorang
malaikat yang diizinkan Allah swt menjadi aulia (pelindung, penjaga dan
pembimbing) kepada dirinya. Ini bermakna bermula daripada malam itu
sehingga hari berikutnya, hidupnya semakin terarah.
Jika sebelum ini bisikan syaitan dan bisikan malaikat sentiasa
berperang dalam dirinya, tetapi setelah mendapat Lailatul Qadar,
bisikan malaikat dan fitrahlah sentiasa menang. Hidupnya akan berubah
menjadi baik. Jika dahulu dia tidak merasa apa-apa jika berbuat dosa,
tetapi kini menjadi sensitif dan susah hati mengenangkan dosa. Inilah
tandanya orang yang mendapat Lailatul Qadar.
Orang-orang yang layak mendapat Lailatul Qadar termasuk mereka yang
istiqamah berpegang teguh kepada aqidah tauhid dan tidak
mencampurkannya dengan syirik walau sedikit pun sedari kecil. Mereka
ini sentiasa memelihara keimanan khususnya sepanjang bulan Ramadan,
bahkan semakin bersemangat terutama pada sepuluh hari terakhir Ramadan.
Mereka inilah orang-orang mendapat tetamu daripada malaikat yang
turun pada malam Qadar. Malaikat akan membisikkan sesuatu kepada roh,
jiwa dan fitrah mereka sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al-
Fussilat ayat 30:
“Janganlah kamu takut, janganlah kamu bersedih.”
Bencana hidup penuh dengan ketakutan dan kesedihan merupakan dua
perkara yang sering disebutkan dalam Al-Quran. Namun bagi orang mukmin,
Allah swt janjikan bagi mereka tiada ketakutan dan tiada kesedihan atau
dalam istilah lain mereka telah mendapat ketenangan.
Allah swt izinkan malaikat menjadi pelindung, pembimbing dan
pengawal bagi mereka. Bayangkan apabila hidup sentiasa dikawal oleh
malaikat. Jika hendak berbuat sesuatu yang tidak baik sentiasa ada
malaikat yang mengingatkan. Oleh itu beruntunglah mereka yang mendapat
Lailatul Qadar.
Nilai umur seseorang selepas mendapat Lailatul Qadar adalah lebih baik
sekalipun ianya singkat. Katalah ada seorang tua berumur 70 tahun telah
mendapat Lailatul Qadar pada malam ini. Bermula pada malam ini,
hidupnya menjadi lebih terarah kepada kebaikan. Katakanlah di Luh
Mahfuz pula telah tercatat umurnya akan berakhir pada 72 tahun. Jadi
nilai umurnya yang dua tahun berbaki lagi itu (yakni setelah mendapat
bimbingan malaikat dengan izin Allah) adalah jauh lebih baik daripada
70 tahun hidup sebelumnya!
Sejarah pernah memaparkan kisah Firaun yang sangat membenci Nabi
Musa a.s dan ingin memalukannya. Dia pun mengatur satu majlis
besar-besaran dihadiri pembesar-pembesar dan rakyat Masir. Ahli-ahli
sihir diraja dikumpulkan untuk berlawan dengan Nabi Musa. Namun
sihir-sihir diraja itu dapat dikalahkan oleh mukjizat Nabi yang berupa
ular besar.
Ular besar itu telah menelan semua ular ahli-ahli sihir itu. Rasa
takjub kepada kehebatan mukjizat Nabi menyebabkan ahli-ahli sihir ini
sujud kepada Allah. Mengapa mereka terus sujud menyembah Allah?
Ahli-ahli sihir ini tahu membezakan yang mana ular sihir dan ular yang
betul. Mereka yakin ular besar yang muncul di hadapan mereka bukanlah
ular sembarangan atau ciptaan manusia.
Melihat sahaja ahli-ahli sihir telah beriman kepada Allah swt,
Firaun menjadi terlalu marah. Firaun mengugut akan menyalib dan
mengerat-ngerat badan mereka jika memeluk agama Nabi Musa. Namun
ahli-ahli sihir itu teguh pendirian kerana lebih sayangkan iman
daripada nyawa mereka sendiri. Akhirnya Firaun menyalib dan
mengerat-ngerat tangan mereka dan dibiarkan sehingga mati.
Katakanlah selepas lima hari barulah mereka mati. Jadi nilai umur
ahli-ahli sihir selama lima hari dalam keadaan beriman itu adalah lebih
baik daripada umur mereka yang sebelumnya penuh dengan kejahatan.
Jadi, mulai bilakah perlu mempersiapkan diri supaya menjadi orang
yang layak menerima Lailatul Qadar? Jawapannya ialah sejak kecil lagi.
Nabi saw mempersiapkan diri, roh dan jiwanya sebelum menerima wahyu
daripada Allah swt sejak daripada kecil. Baginda tidak pernah berbuat
dosa pada ketika orang lain banyak berbuat maksiat. Oleh sebab itu
baginda digelar Al-Amin (yang terpercaya) sejak sebelum dilantik
menjadi rasul lagi.
Enam bulan sebelum Lailatul Qadar, baginda mengasingkan dirinya
secara intensif meninggalkan keluarga dan kaumnya sementara waktu untuk
menumpukan hati kepada Allah di gua Hira’. Itulah persediaan jiwa nabi
sebelum menghadapi Lailatul Qadar.
Bagaimanakah dengan jiwa kita? Mungkinkah ibadah yang kita usahakan
selama ini daripada satu Ramadan ke satu Ramadan belum menghasilkan
jiwa sempurna atau suci bagi membolehkan didatangi oleh malaikat? Jika
tahun ini kita tingkatkan lagi ibadah, seterusnya ditingkatkan tahun
demi tahun, tidak mustahil satu ketika nanti kita akan didatangi
malaikat pada malam Al Qadar.
Rugilah bagi orang-orang yang hanya menunggu-nunggu tanda-tanda
Lailatul Qadar barulah bersiap untuk beribadah sebanyak-banyaknya. Atau
hanya memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan dan
mengabaikan serta sambil lewa pada 20 malam sebelumnya dan tidak ambil
kisah langsung dengan 330 malam di luar Ramadhan. Tidak salah menambah
pecutan di sepuluh malam terakhir… tetapi momentumnya perlu bermula
lebih awal.
Ibnu Kathir pernah menyatakan dalam
kitabnya, ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa setiap malam dalam
bulan Ramadan ini itu ialah malam Lailatul Qadar. Jadi, lebih selamat
jika kita menganggap setiap malam itulah Lailatul Qadar supaya kita
berterusan meningkatkan ibadah.
Sekiranya kita tidak mendapat Lailatul Qadar, ibadah yang dilakukan
bersungguh-sungguh masih tidak sia-sia. Teringat kata Imam Hasan Al
Basri, “jadilah kamu hamba Allah (yang beribadah sepanjang
masa, tempat dan suasana), jangan menjadi hamba Ramadhan (yang hanya
tekun beribadah di bulan Ramadhan sahaja).
Tegasnya, Lailatul Qadar itu dinanti dan dicari dengan momentum
ibadah yang telah dimulakan sejak akil baligh lagi – hati terus terusan
dibersihkan, hingga tiba saatnya layak menjadi wadah tempat bertamunya
para malaikat. Hingga dengan itu bisikan baik akan sentiasa mengatasi
bisikan jahat, dan perangai pun berubah menjadi baik selama-lamanya.
Jadilah hamba yang mencari malam al Qadar, bukan yang hanya menantinya!
copied from : here
Ya ALLAH!maafkan aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku..dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan..