الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على نبيه الأنبياء والمرسلين،والهادي إلى صراط المستقيم، وعلى آله المكرمين وصحبة الكريم، ومن تبعهم بإحسن إلى يوم الدين
Satu SMS menyatakan,” ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) lailatul
Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi
mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!” Memang rasa kesal
akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu
baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat beribadat
luntur akibat terlepasnya. Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “
jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap
keadaan dan suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar yang beribadah
hanya pada malam itu sahaja.”
Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar
pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri.
Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah
mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa,
taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan
Allah? Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih
tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada
habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat.
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita
selepas “malam tadi” (malam yang dirasakan malam Al Qadar) apakah sudah
berubah… terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin
enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya… kita telah mendapat malam Al
Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki,
dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta
makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun
lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya… malam Al Qadar sudah menjadi
milik kita!
Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia
(umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira
banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara
luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di
kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya.
Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih
hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati
orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan
para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu
dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan
(dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam
hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama,
bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar”
yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati.
Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan
syaitan. Antara ilham dan waswas. Siapa yang menang, dialah yang akan
menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh
“penakluknya”.
Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah,
doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan
mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa
mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya
menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat
kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada
tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain
mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang
yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian
sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah,
indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada
dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar
tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya
tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal.
Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik
untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita
akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan
sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang
cintakan Allah, setiap malam adalah malam Al Qadar. Al Qadar boleh
datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila.
Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1430 h) atau
dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…
Persediaan menenemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan
atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk
“menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah
perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah
cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan
tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh
bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku,
sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.
Ya ALLAH!maafkan aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku..dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan..
No comments:
Post a Comment