Monday, August 29, 2011

Bergembiralah Tanpa MelupakanNYA!

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ


MENYAMBUT PERAYAAN (AIDILFITRI) CARA ISLAM DAN SUNNAH RASULULLAH




Jika kita melakukannya, maka kita semua akan mendapat pahala sunnah atau pahala menghidupkan amalan yang telah diajarkan oleh Baginda..

Bertakbir

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman ALLAH yang bermaksud :

“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjukNYA, dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah : 185)

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam Kitab Meneladani Rasulullah saw Dalam Berhari Raya :

“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.”

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke masjid.

Lafaz Ucapan Selamat Pada Hari Raya Aidilfitri

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan “Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin”. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi saw adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair ra dalam Kitab Fath Al-Bari :

“Apabila para sahabat Rasulullah saw bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga ALLAH menerima amalan kami dan amalanmu).”

Meneruskan Qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.

Mandi Pada Pagi Hari Raya

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke masjid. Ali bin Abi Thalib ra pernah ditanya mengenai mandi :

“Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab : Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i)

Makan Sebelum Solat Aidilfitri

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab dalam Kitab Fath Al-Bari :

“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.”

Kebiasaannya, Rasulullah saw akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik ra berkata :

“Rasulullah saw tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma. Murajja bin Raja berkata : Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata : Rasulullah saw memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Riwayat al-Bukhari)

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

Memakai Pakaian Yang Indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafi’i berkata dalam Kitab Al-Umm :

“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafi’i menambah :

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.”

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah saw :

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.”(Riwayat al-An-Nasai)

Berjalan Kaki Menuju Tempat Dikerjakan Solat Hari Raya

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib ra :

“Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” (Riwayat al-Tirmizi)

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

Mengikuti Jalan Yang Berbeza Ketika Pergi Dan Kembali Dari Mengerjakan Solat Hari Raya

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan balik dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin Abdullah ra berkata :

“Nabi saw melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata dalam Kitabnya Zaadul Maad :

“Baginda saw selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.”

Tempat Perlaksanaan Solat Hari Raya

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi saw. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri ra berkata :

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” (Riwayat al-Bukhari)

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata dalam Kitabnya Koreksi Total Ritual Solat :

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap ALLAH dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada ALLAH dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat ALLAH yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.”

Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas ra berkata :

“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Said al-Khudri ra berkata :

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah saw akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” (Riwayat al-Bukhari)

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Saib ra berkata :

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi saw. Setelah selesai solat baginda bersabda : Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” (Riwayat Abu Daud)

Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada ALLAH, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq berkata dalam Kitabnya Fiqh Al-Sunnah :

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.”

Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah saw :

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Riwayat Muslim)

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafi’i. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahan mahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah.

Penutup
 


Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah ALLAH serta Rasul saw.


Takbir Syawal lambang satu kemenangan,
Mengatasi kejahatan diri,
Menangani angkara cinta duniawi,
Kembali kepada fitrahmu,
Kembali kepada ALLAH.
Hitung syukurmu di istana rahmatNYA,
Renung sukarmu di penjara dosa,
Moga keberkatan Syawal, 
Menjadi mahar seorang hamba melamar cinta TUHANnya!
Salam penghujung Ramadhan dan Selamat Hari Raya kepada semua pembaca blog  
Berpaut Pada Firman dan Sabda.
Maaf dihulur sekiranya tulisan didalam blog ini menguris hati kalian. 
 Taqabbalullahu minna waminkum
kullu'am wa antum bikhier

~Muhasabah di penghujung Ramadhan~

“Jika kamu beribadah dan beramal kerana Ramadhan,
 ketahuilah bahawa Ramadhan akan pergi.
Tetapi jika kamu beribadah kerana ALLAH, 
maka ketahuilah bahawa ALLAH itu hidup dan tidak akan mati”
Jadilah kamu hamba ALLAH(yang beribadah sepanjang masa, tempat dan suasana), jangan menjadi HAMBA RAMADHAN(yang hanya tekun beribadah dibulan Ramadhan SAHAJA)~As-Syahid Imam Hasan Al-Banna~



Moga kemeriahan Syawal nanti, hati kami tetap di madrasah Ramadhan!






Photobucket
 

Thursday, August 25, 2011

Hukum Remove Friend Di Facebook

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ


Artikel kali ini mahu memfokuskan perbincangan tentang beberapa fenomena dan hukum berkaitan aktiviti difacebook. Walaupun tidak ada satu pun ayat Al-Quran mahupun hadith Nabi s.a.w yang menyebut secara khususberkenaan dengan hukum facebook, tetapi Islam menyediakan kaedah-kaedah tertentu yang sesuai digunakan sebagai kaedah umum bagi semua keadaan yang bersifat khusus. Ini menjadikan Islam itu sentiasa sesuai dan relevan untuk semua situasi dan ketika.
Sebelum itu ingin saya nyatakan, bahawa terlalu banyak hukum berkaitan yang boleh dihuraikan jika ingin bercakap tentang aktiviti di facebook. Namun apa yang cuba saya fokuskan dalam entri ini adalah dalam bab add friend ataupun remove friend.
KONSEP SYARIAT
Suatu perkara asas yang perlu kita faham tentang Syariat Islam adalah, Islam ini datang kepada kita sebagai satu sistem yang matlamat utamanya adalah untuk memberikan kemaslahatan ( kebaikan ) kepada manusia dan menjauhkan sebarang kemudaratan daripada manusia. Ini konsep teras kepada hukum hakam Islam. Sebarang perkara yang boleh mendatangkan manfaat ataupun kebaikan kepada manusia adalah dibenarkan manakala sebarang perkara yang boleh memberikan mudarat kepada manusia adalah ditegah dan dilarang.
Arak umpamanya. Suatu perkara yang boleh memberi kemudaratan maksima kepada manusia, kerana ia menghilangkan fungsi akal yang waras. Ketika mabuk, manusia boleh berzina bahkan membunuh. Islam menegah keras perbuatan minum arak kerana kesan-kesan negatif yang akan timbul daripadanya.
Jadi secara mudah, boleh kita fahami begini. Islam mahukan yang terbaik untuk kita, maka segala yang baik dan boleh membawa kepada kebaikan adalah diharuskan. Manakala segala yang buruk dan boleh membawa kepada keburukan, adalah ditegah dan diharamkan.
Ok, itu step yang pertama.
KAEDAH UMUM
Kita fokuskan pada satu kaedah fiqh yang ada dalam Islam, di mana kaedah ini menyebut :
Satu perkara yang mana tidak akan lengkap sesuatu perkara wajib, melainkan dengan perkara tersebut, maka perkara tersebut turut sama menjadi wajib.
Analogi asas : mengambil wudhuk itu sunat tetapi solat itu wajib. Namun untuk bersolat wajib ada wudhuk, kerana wudhuk itu adalah syarat untuk solat. Justeru, walaupun wudhuk itu asalnya tidak wajib umpama solat, tetapi ia menjadi wajib kerana solat tidak akan sempurna melainkan dengan wudhuk.
Kita aplikasikan.
Dalam hidup kita, kita tidak akan dapat lari dari 5 hukum yang utama. Daripada bangun tidur, sampailah tidur semula, kita bermain dengan 5 hukum ini iaitu wajib, sunat, harus , makruh dan haram. Contoh, bangun pagi solat subuh, hukumnya wajib. Dengar azan tarik selimut sambung tidur, hukumnya haram.
Kalau kita perhatikan, kesemua perkara yang ALLAH tentukan sebagai wajib, pada perkara tersebut pasti dan pasti ada manfaat serta kebaikan untuk manusia. Begitu juga pada perkara yang haram, pada perkara tersebut pasti dan pasti ada keburukan kepada manusia. Saya sudah berikan satu analogi di atas, iaitu arak.
Justeru, kalau mahu aplikasikan kaedah penting ini, kita boleh katakan ; minum arak itu haram, justeru membeli arak juga haram, berjalan pergi ke kedai untuk membeli arak juga haram dan begitulah seterusnya. Bermakna, kesemua perkara yang boleh menyempurnakan benda haram akan turut sama menjadi haram.

Sebab itu dalam bab zina, ada istilah mukaddimah zina. Yang jelas dinyatakan haram dalam Al-Quran adalah perbuatan berzina itu sendiri, namun kerana mata yang memandang itu boleh membawa kepada zina, telinga yang mendengar itu boleh membawa kepada zina dan kaki yang melangkah itu boleh membawa kepada zina, maka kesemuanya turut sama menjadi haram atas nama mukaddimah ataupun permulaan zina.

HUKUM FACEBOOK

Dalam 5 hukum yang saya sebut di atas, hukum ber- facebook adalah harus. Kaedah menyebut, asal usul kesemua perkara adalah harus. Boleh dibuat, boleh ditinggal tanpa ada pahala mahupun dosa. Keharusan ini kekal selagimana tidak ada dalil ataupun elemen-elemen lain yang boleh merubah perkara harus tadi menjadi haram.
Kembali kepada fokus saya ; add atau remove friend.
Kita semua tahu, berkawan di facebook adalah perkara yang paling mudah bahkan pada sesetengah orang sangat menyeronokkan. Boleh mendapat kawan dari seluruh dunia dan belajar dari mereka tentang banyak perkara. Berkawan ini, hukumnya harus bahkan boleh menjadi sunat sekiranya niat berkawan itu adalah kerana Allah.
Namun dalam keasyikan berkawan itu, ada batas tertentu yang kita perlu jaga, bagi mengelakkan keharusan pada hukum tadi tercemar dengan elemen lain yang boleh menjadikannya haram.
GAMBAR

Satu contoh paling mudah kita faham adalah gambar. Apabila saya menyebut tentang gambar, bermakna ia melibatkan hubungan berkawan antara lelaki dan perempuan. Ia terkait dengan gambar kerana antara lelaki dan perempuan diwajibkan menjaga pandangan masing-masing dan tidak boleh memandang melainkan ada keperluan.

Hukum meletakkan gambar bagi seorang wanita di facebook asalnya adalah harus semata-mata. Langsung tidak ditegah oleh agama. Tetapi dengan syarat ; gambar tersebut hanya anda, keluarga anda dan kaum sejantina anda sahaja yang boleh melihat. Apatah lagi jika gambar tersebut tidak menutup aurat ataupun mempunyai unsur-unsur tabarruj.

Bagaimana jika syarat ini dilanggar? Jawabnya anda terjatuh ke dalam dosa, kerana membiarkan diri anda ditatap oleh kaum lelaki yang bukan mahram. Menutup aurat anda dan menyembunyikan perhiasan anda adalah wajib. Menutup pintu-pintu fitnah juga merupakan perkara yang wajib. Lihat balik kaedah di atas, sesuatu yang tidak sempurna perkara wajib melainkan dengannya maka ia turut menjadi wajib.

Menutup aurat, menyembunyikan perhiasan dan menutup pintu-pintu fitnah itu wajib, maka mengelak dari meletakkan gambar yang boleh dilihat oleh lelaki ajnabi yang mana boleh menyumbang kepada sempurnanya perkara wajib tadi, turut sama menjadi wajib.

FRIEND

Ramai orang tidak menapis friend untuk masuk ke dalam list mereka. Asal ada permintaan, akan diterima. Ini kadangkala menjadikan begitu ramai orang yang tidak dikenali berada dalam koleksi kawan mereka. Dalam ramai-ramai orang tersebut, ada bermacam-macam ragam.

Kalau sebagai lelaki, ramainya kawan wanita itu boleh membawa kepada fitnah. Lebih-lebih lagi jika tidak kuat keimanan dalam diri. Biasa berlaku, wanita suka ambil gambar dan meletakkan gambar mereka dalam facebook. Kerapkali juga, gambar-gambar itu terpamer di muka hadapan. Maka si lelaki yang sedang bersiar-siar di facebook, akan membuka atau melihat gambar-gambar tersebut.

Ada yang bertudung rapi, tetapi gambar jarak dekat. Bibir berkilat dengan lipstik. Posing pula berbagai gaya. Mereka ini kadangkala tidak pun dikenali, dan kadangkala si lelaki bertanya pula kepada diri sendiri ; bila masa aku add minah ni ?

Memang ramai wanita jenis itu di facebook. Berbagai teguran diberi, namun minat bergambar dan menayangkan gambar tetap tidak dihentikan. Apatah lagi jika komen-komen di bawah gambar tersebut cenderung memuji, mengusik dan menyakat. Semakin seronok lah mereka.

Kadangkala lelaki hanya mengambil mudah, dan mengomen ; poyo betul minah ni. macam cun sangat.

Hati-hati.

Kata-kata anda belum menjamin anda selamat jika berdepan dengan situasi tersebut. Syaitan belum datang mencucuk. Mula-mula anda fikir anda kuat, dan ‘minah poyo’ tersebut tidak menggugat. Namun pandangan kedua mungkin mengubah segalanya. Tadi nampak tak cantik, sekarang macam ada daya penarik. Mula lah memerhati wajah si wanita, bibirnya, bentuk tubuhnya. Kesudahannya, nafsu yang akan berbicara.

Tiada istilah dari mata turun ke hati. Yang ada, dari mata turun ke nafsu!

Sebab itu, Islam wajibkan lelaki menahan pandangan. Inilah bahayanya. Maka, aplikasikan kaedah di atas. Jangan berlagak kuat dan hebat dengan memperjudikan keimanan. Jika terbukti gambar tersebut boleh memberikan mudarat pada iman, maka menjauhi gambar tersebut hukumnya adalah wajib dan menatapnya adalah haram.

Jika tindakan remove friend dengan wanita seperti itu boleh menyelamatkan iman dan membersihkan pandangan, maka remove friend itu hukumnya adalah wajib.

BEBERAPA SITUASI LAIN

1- Remove friend boleh menjadi wajib sekiranya anda yakin lelaki atau wanita tersebut boleh memberikan mudarat tertentu kepada anda, lebih-lebih lagi jika mereka itu menzahirkan sebarang niat yang jahat. Contohnya ; stalker.

2- Remove friend boleh menjadi wajib, sekiranya anda meminati seseorang itu, dan anda tidak boleh menahan diri dari selalu melihat wall atau gambarnya. Lebih-lebih lagi jika menjadi igauan, sejenis obses ataupun melibatkan kecenderungan nafsu. Jika hilang dari pandangan mata, anda akan merasa lebih selesa.

3- Remove friend juga boleh menjadi wajib jika dengan adanya orang tersebut di facebook anda, anda tidak boleh menahan hati anda dari mengumpat ataupun mengejeknya setiap kali membaca status yang ditulis. Mungkin kerana benci, bergaduh, berdendam ataupun iri hati. Jika dengan ketiadaan dia lebih menyelamatkan anda dari dosa, maka remove dia dari friend menjadi wajib.  Mungkin juga sekiranya terdapat friend anda yang cuba menyakiti hati anda dengan status-status yang ditulis untuk mengelakkan anda berkecil hati atau untuk menjaga hubungan dengannya lebih baik anda remove dia dari  friend anda.

4- Add friend boleh menjadi haram, sekiranya bertujuan untuk mendapat akses kepada gambar-gambar peribadi seseorang, ataupun mengintip cerita dan perbualannya, ataupun dengan tujuan mencari keaiban orang tersebut. Perbuatan itu haram dan wasilah kepada perbuatan yang haram, hukumnya juga haram.

5- Kiaskan kepada situasi-situasi yang lain.
Sebhgian org merasa 'puas' & 'selesa' dalam jiwanya apabila dapat menyakitkan hati org lain sama ada dengan kata-kata, tulisan, sindiran dan jelingan. Bagi golongan ini semacam satu hobi melemparkan kata-kata yang diketahui boleh 'menyakitkan' targetnya. Jika sifat itu ada dalam diri, fahamilah hati individu itu SANGAT KARAT dengan dosa terkumpul bertahun-tahun. Tanpa segera diubah, ia bakal menjadi kegemaran harian yang MEMUFLISKAN saham akhiratnya.~Ustaz Zaharuddin~
KESIMPULAN

Apa yang mahu difokuskan dalam entri ini hanyalah perihal menambah kawan tanpa tapisan dan perlunya anda membuang senarai kawan yang mendatangkan mudarat kepada diri dan iman anda. Termasuk padanya, wanita suka tayang gambar, lelaki yang suka tayang video tak senonoh ataupun orang berniaga yang setiap kali melihat post darinya akan membuatkan anda naik gila.

Ingat, wasilah kepada perkara yang wajib , hukumnya adalah wajib. Dan wasilah kepada perkara yang haram, maka hukumnya adalah haram. Selamat melakukan proses pembersihan.


'Unfriend' di facebook jangan sesekali ditafsir memutuskan silaturahim. Ia pada banyak ketikanya dilakukan kerana apa yg dikongsi oleh orang sana, dirasa tidak sesuai untuk dibiar turut terpapar di wall kita. Justeru, tanggungjawab kita agar tidak 'bersubahat'. Adakalanya, ia iklan pakaian yang berlebihan, umpatan, sembang kosong yang lagha, link & gambar yang berdosa dan lain-lain.~Ustaz Zaharudin~


Diceduk dari: Myilham.com 




Sekadar pencerahan=)

          
Photobucket
 

Friday, August 19, 2011

Rahsia puasa diterima

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ



Tulisan Ustaz Zainudin Hashim
Diceritakan pada satu hari, seorang Soleh di kalangan salaf berlalu di sebuah perkampungan, terdapat di situ beberapa orang lelaki (selepas Ramadan) ketawa berdekah-dekah dengan membuang masa di kedai kopi, bercerita tentang persoalan dunia yang tiada kaitan dengan alam kubur, akhirat atau di padang Mahsyar. Maka orang Soleh itu pun menyapa mereka dengan berkata : Adakah tindakan tuan-tuan dengan banyak ketawa merasakan tidak ada dosa yang tertanggung atau begitu yakin amalan tuan-tuan diterima ALLAH SWT dengan membuang masa begini?Jika diterima sekali pun adakah sesuai tuan-tuan duduk lama di kedai kopi bersembang pada perkara yang tidak menguntungkan Islam dan umatnya?* Justeru menurutnya, sesungguhnya amal-amal soleh yang berkekalan yang dilakukan pada bulan Ramadan seperti berpuasa, baca al-Quran, solat Tarawih, bersedekah dan berzakat, menyedia atau memberi makanan kepada orang lain, bersegera ke masjid untuk menunaikan solat Jamaah, menjaga waktu solat fardu lima waktu, menghubungkan silaturrahim sesama muslim, beriktikaf dalam masjid, bangun malam dan lain-lain adalah petanda amalan orang berpuasa diterima di sisi ALLAH.
* Hendaklah setiap muslim menjadikan ketaatan dan muraqabah (pengawasan) terhadap ALLAH setiap masa seperti di bulan Ramadan adalah perkara utama agar amalannya terus diterima di sisi-Nya, di samping menjauhkan diri daripada terlibat dalam perkara dosa, mungkar dan keji bersesuaian dengan inspirasi hadis baginda yang bermaksud :
“Susulilah kejahatan itu dengan kebaikan yang mampu menghapuskan kejahatan, dan berakhlak mulialah terhadap manusia dengan akhlak yang terpuji”.
* Bercakap dengan ungkapan yang berisi nasihat atau bimbingan serta beramal soleh merupakan pra syarat terkabul amalan di sisi ALLAH seperti yang ditegaskan-NYA menerusi ayat 10 surah Fatir : “Kepada-NYA (ALLAH) sampai perkataan-perkataan yang baik (kalimat Tauhid) dan amal soleh disampaikan kepada-NYA .
* Bersegera dalam melakukan kebaikan dan kebajikan juga adalah faktor dikenal pasti sebagai penyebab amalan seseorang diterima ALLAH.
* Suka bersedekah dan tidak kedekut adalah punca amalan diterima ALLAH.
* Mengekal dan memelihara takwa kepada ALLAH juga menyebabkan amalan diterima ALLAH.
* Istiqamah dalam agama dengan terus beramal dan melakukan perintah serta meninggalkan perkara yang terlarang adalah punca amalan diterima.
* Memelihara rukun Islam yang lima serta rukun Iman yang enam juga penyebab amalan diterima ALLAH.
* Konsisten dalam beramal secara berterusan walaupun sedikit, ia bertepatan dengan penjelasan baginda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud :

Sebaik-baik amalan di sisi ALLAH ialah yang bersifat berterusan walaupun sedikit”.  



Photobucket

Sunday, August 14, 2011

Wallpaper: Ramadhan Daily Checklists

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ


Selamat menempuh fasa kedua Ramadhan.. Ramadhan Kareem=)

Photobucket
 

Saturday, August 6, 2011

Misteri Syaitan Dirantai

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ


Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa ynag dimaksudkan dengan syaitan dirantai pada bulan Ramadhan, sedangkan kita menyaksikan ada orang yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan, tempat-tempat maksiat masih dibuka dan sebagainya. 


Hadith yang berkaitan itu ialah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Apabila bulan puasa tiba, maka akan terbuka pintu-pintu syurga, tertutupnya pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dirantai."


Daripada hadith tersebut, dapat difahami dalam pengertian tersirat(majazi) dan secara tersurat(hakiki). Dalam pengertian majazi, hadith tersebut terkandung makna bahawa bulan Ramadhan adalah bulan ibadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH. ALLAH melimpahkan ganjaran luar biasa serta dibuka pintu-pintu keampunanNYA.


Dengan melakukan sedikit amalan sahaja, manusia memperoleh ganjaran yang banyak dan dapat menyebabkanmereka ke syurga. Sehingga syurga dibulan tersebut bagaikan selalu terbuka. Neraka pula bagaikan tertutup, oleh kerana banyaknya pengampunan  daripada ALLAH. Oleh kerana manusia ketika itu mempunyai kesedaran yang tinggi, syaitan-syaitan pula bagaikan terbelenggu dan dirantai.


Jika hadith ini difahami secara hakiki pula, kita boleh mengatakan bahawa kederhakaan timbul akibat godaan dan rayuan nafsu. Pada bulan Ramadhan syaitan memang terbelenggu, tetapi nafsu masih tidak dibelenggu. Maka ada orang yang nafsunya tidak terkawal, mereka tetap melakukan maksiat dan kederhakaan.


Ulama-ulama menjelaskan bahawa ada perbezaan antara godaan syaitan dan rayuan nafsu. Syaitan mengoda dengan tujuan merugikan manusia. Syaitan dapat mengubah rayuannya dari semasa ke semasa jika rayauan pertamanya gagal. Berbeza dengan nafsu yang hanya ingin memuaskan dirinya sehingga apabila dia menginginkan sesuatu, dia tidak akan mengubahnya dan terus mendesak sehingga keinginanya tercapai.


Rahsia ALLAH


Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan maksud syaitan dirantai pada bulan Ramadhan. Ada ulama berpandangan bahawa yang dirantai itu hanya syaitan tertentu sahaja. Namun ada juga yang berpandangan semua syaitan dirantai. Terdapat manusia yang berbuat maksiat dan dosa tanpa godaan syaitan kerana mereka(manusia) sendiri sudah menjadi 'syaitan'.


Menurut al-Hafiz Ibn Hajar rhm., syaitan dirantai boleh ditakrifkan dengan maksud syaitan tidak boleh menggoda umat Islam selain Ramadhan kerana mereka sibuk dengan ibadah puasa, membaca al-Quran dan mengingati ALLAH.


Menurut Syeikh Mutawalli al-Sya'awi dalam kitabnya Anta Tas'al wa Islam Yujib: ' Maksud hadith Rasulullah SAW tersebut ialah agar kita membuat situasi dan keadaan yang menjadikan syaitan-syaitan terbelenggu atau terantai dan tidak menggoda manusia untuk melanggar hukum dan melakukan dosa. Sehinggakan yang ada hanyalah amal-amal yang baik, dan pintu-pintu syurga terbuka.' 


Tidak Perlu Perbahasan


Ada ulama yang menyatakan bahawa hadith tersebut menyatakan tentang perkara-perkara yang tidak diterangkan secara terperinci oleh syarak dan kita hendaklah menerimanaya tanpa perbahasan. Ini lebih selamat untuk agama seseorang.


Apabila Abdullah iaitu anak kepada Imam Ahmad bin Hanbal bertanya kepada bapanya tentang segelintir manusia yang diserang histeria pada siang hari bulan Ramadhan, Imam Ahmad menjawab:" Inilah yang disebut dalam hadith dan kami tidak membincangkannya."


Tambahan pula, apa yang jelas tentang maksud hadith adalah mereka terhalang daripada menggoda manausia kerana begitu ramai umat Islam yang mendekatkan diri kepada ALLAH pada bulan ini. Oleh sebab itu, maksud sebenar "syaitan dirantai" hanya ALLAH sahaja yang mengetahui. Ini tidak beerti kejahatan tidak berlaku atau manusia berhenti membuat dosa pada bulan Ramadhan.


WALLAHu'alam.


Moga ada manfaatnya.


(Rujukan: Solusi Isu 34(Misteri Alam Ghaib), Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif. m/s:105)


  Photobucket

Mithaqan Qholizo:)

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم  AlhamduliLLAH thumma alhamduliLLAH 30 JamadilAwwal 1436H | 21 Mac...