Jodoh di tangan Tuhan. Demikian kata-kata masyhur masyarakat Melayu disegenap lapisan masyarakatnya, tua atau muda, kaya atau miskin, yang telah berkahwin atau belum. Bagi sesetengah mahasiswa/i, ALLAH mentakdirkan mereka berkahwin sesama mereka ketika masih di menara gading, tempatan atau di luar negara, dalam usia yang masih muda. Saya dan isteri melangsungkan perkahwinan sebelum menyambut ulangtahun ke 20 di Australia dalam tahun 1985.
Syukur alhamdulillah, setelah 22 tahun berlalu, kerukunan rumahtangga masih utuh dan mahligai yang dibina mekar dari hari ke sehari, tahun demi tahun. Bagi mereka yang bakal atau sedang melayari kehidupan rumahtangga semasa masih menuntut, di luar negara pula beberapa petua kami nukilkan di sini, semoga bermenfaat buat semua sambil berkongsi pahala dalam membina rumahtangga:
1- Ikhlaskan niat berkahwin semata-mata kerana ALLAH, RasulNYA, hari Akhirat dan berjuang di JalanNYA. Walau berlalu masa berdekad, mengingati Niat yang tulus dari masa ke semasa ini memberi kekuatan dan ketenteraman dalam mengurus keluarga dan menentu hala tuju hidup anak-anak.
2- Sentiasa ingat bahawa cinta datangnya dari hati manusia, sedang hati pula adalah milik ALLAH swt. Kita tidak dapat mencintai seseorang melainkan jika ALLAH kehendakki. Oleh itu sentiasa kita berdoa semoga ALLAH mengurniakan kita cinta kasih kepadaNYA dan RasulNYA, kemudian kepada isteri dan anak-anak.
3- Sentiasa meletakkan diri ingin belajar tentang kehidupan. Ini termasuk ingin mengenali labih lagi tabiat diri kita sebagai seorang suami, tabiat isteri kita sebagai seorang wanita yang sudah tentunya banyak perbezaan dengan diri kita, dunia kehidupan berumahtangga yang hampir merupakan satu organisasi yang diikat dengan kasih sayang dan hormat menghormati, bukan syarikat yang diikat oleh harta dan wang gaji dan lain-lain lagi.
4- Hendaklah pasangan berkongsi visi dan misi, apa yang hendak dicapai atau dituju dalam melayari kehidupan bersama dan bagaimana nak mencapainya. Berapa banyak organisasi dan perjuangan yang ahlinya pecah berantakan lantaran masing-masing di luarnya nampak bertaut, tetapi di dalam diri masing-masing mempunyai kefahaman, keyakinan dan halatuju yang berbeza. Dalam hal ini, theqah dan taat dari isteri terhadap suami, halatuju dan perjuangannya selaku pemimpin keluarga amat penting. Dalam masa yang sama sikap tanggungjawab suami dan kasihnya kepada isteri dan anak-anak mesti mewarnai setiap sudut dan ruang rumah, hati dan jiwa mereka yang dibawah pimpinannya. Kata Hasan Al-Banna, “Hendaklah suami memastikan isterinya menghormati Fikrahnya”. Fikrah maknanya kefahaman, halatuju dan perjuangan.
5- Menghormati mertua dan saudara mara yang berkait darah dengan mereka. Berusaha merapatkan silaturrahim melalui sumbangan wang bulanan walau sedikit atau simbolik, ziarah menziarahi, berhubung dan bertanya khabar, mengaturkan majlis yang mengumpulkan saudara mara yang dekat atau jauh dan sebagainya. Perkahwinan bukan sahaja diantara dua mempelai, bahkan diantara dua keluarga dan sanak saudara.
6- Suami dan isteri bersepakat dalam menentukan masadepan anak-anak, pakaian, persekolahan, bidang pengajian dan jodoh, sepertimana mereka berdua bersepakat dalam budget mingguan, pembelian hartanah, pembahagian keutamaan dan sebagainya.
7- Meletakkan Tarbiyah Anak-anak sebagai keutamaan yang paling teratas di dalam program keluarga dan budget kewangan. Moga Allah merahmati sepasang suami isteri yang berpada hidup sederhana rumah dan kereta demi membayar yuran anak-anak yang mahal di sekolah-sekolah Islam swasta yang mempunyai sistem dan pendidik yang berkualiti.
Akan berterusan seorang mukmin dan mukminah itu dipegang pada niatnya dalam setiap rancangan dan tindakan, walau berlalu masa yang panjang, tahun demi tahun, dekad demi dekad. "Seorang mukmin dipegang pada syarat-syarat (yang dibuat diawal)nya"“Hanyasanya amalan-amalan itu dengan niat-niat..” (Hadis).
Seperti peguam menjaga perjanjian antara dua orang, syarikat atau pihak, di dalam surat yang disimpan rapi. Apabila berlaku sesuatu maka tempat rujuknya ialah niat asal persefahaman antara kedua pihak. Dalam berkahwin, niat bukan di simpan di almari peguam, namum ia tersemat di hati sanubari di setiap mempelai. Apabila melayari kehidupan bersama sebumbung, niat asal akan sentiasa menjadi rujukan hati, sumber semangat, pengubat masalah, penyuluh pelan perancangan, pengingat ketika bersendirian, penjaga ketika berjauhan dan ruh yang mengalir ke dalam jiwa anak-anak bakal pejuang.
Beruntunglah mereka yang mula mengenal Dakwah, jalan dan tuntutannya sejak masih di bangku sekolah atau sebelum berkahwin. Dia boleh menyemak dan memperbetul kembali niatnya untuk berkahwin. Kepada yang telah berumahtangga, masa belum terlewat untuk memperbaharui niat kehidupan yang berbaki. Ketika aku bertekad berkahwin dalam usia muda, belum mencecah 20 tahun, niat paling utama perkahwinan ialah untuk
(1) memahami Dakwah ini dengan lebih lagi,
(2) bekerja lebih bersungguh dan
(3) menyumbang bakti Dakwah kepada kaum Hawa juga, selepas selama ini hanya mencakupi lingkungan kaum Adam sahaja.
Ya ALLAH!maafkan aku apa yang mereka tidak tahu tentang aku..dan jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan..
No comments:
Post a Comment