Thursday, July 28, 2011

Menulis Bukan Kerana Dunia!

ƸӜƷ ♥بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم ♥ƸӜƷ


*Entri sempena 2 tahun kelahiran blog ini*

Segala puji bagi ALLAH, selawat dan dan salam buat Rasulullah SAW, setelah beberapa bulan tidak mengupdate blog, hari ini tergerak jua jari-jemari untuk berkongsi secebis pandangan mata hati.Ada orang bertanya "Ustaz, kenapa lama tak update blog?", dan ada jua yang menepis kata "Mula-mula je semangat, lepas tu senyaplah".


Menulis Di Mana Niatnya
Andainya kehidupan blogger kerana ingin menempah populariti melalui dunia maya, maka tulislah apa sahaja karangan yang sedap dibaca, susunlah kalimah-kalimah pujangga sehingga menawan hati pembaca, usah difikirkan ianya bermakna atau lansung tak punyai harga.Ayuh kita tafakkur sejenak dan tanyakanlah pada diri sendiri, apakah kita sering mentajdidkan niat sebelum menulis sesuatu karangan?, apakah kita berwudhuk sebelum menulis karya yang ingin diterbitkan?, apakah kita mengamalkan dua rakaat solat sebelum jari mula menulis helain demi helaian?, empunya diri yang menulis punyai jawapannya.Dosa si tangan itu bukan semestinya merompak dan mencuri harta manusia, bukan semestinya melukakan badan sesiapa, tapi dosa tangan dan jari-jemari itu boleh bermula dengan sebab salahnya tulisan yang disebar pada manusia.Maka apa yang saya tekankan pada diri sendiri dan pembaca sekalian, andainya ilmu yang ingin dikongsikan itu amat bermakna maka silalah tebarkan kalimah-kalimahnya, namun andainya sekadar untuk memastikan blog kalian tidak sunyi daripada update yang terlalu lama, maka sebenarnya berdiam diri itu lebih baik untuk kita selaku hambaNya.Biarkanlah pembaca menemui penulis-penulis yang lebih bersih hatinya dan lebih 'alim ilmunya, semoga kebaikan yang kita impikan itu kita jua beroleh manfaatnya.

Aplikasi blog harus di gunakan seandainya ianya untuk menyebarkan ilmu dan memberi nasihat serta peringatan, tetapi seandainya ilmu yang disebarkan itu hanya menyesatkan orang lain, maka haramlah hukumnya.Dan andainya sesuatu artikel itu tujuannya untuk mengelirukan masyarakat atau memecahbelahkan masyarakat, maka buanglah saja komputer yang digunakan itu ke dalam laut, kerana itu lebih bermakna daripada terus menerus memecahbelahkan manusia, dan inilah realiti yang kita temui pada hari ini.Betapa ramai orang yang menulis kerana benci, kerana dengki dan sebagainya.

Menulis adalah ranting-ranting dakwah, tapi janganlah ghairahnya menulis sehingga meninggalkan kewajipan yang lebih utama.Menulis hanyalah dakwah dengan kata-kata, dan setiap insan mampu berkata-kata, kadangkala ada yang amanah dengan apa yang dikata dan sebahagiannya pula hanyalah hipokrit semata-mata.Cantik manis pada kata-katanya, namun jauh sekali bila dilihat kehidupan realitinya.Nauzubillahi min zaalik.Jadikanlah dakwah bil hal(perbuatan) itu sebagai dakwah yang paling utama, gerak kerja untuk islam masih banyak yang belum terlaksana, jangan pula dihambakan diri dihadapan komputer.Semoga kita mampu menengutamakan yang lebih utama, dan menulis bilamana untuk sesuatu yang perlu, bukan menulis untuk sesuatu yang dimahu.

Nilai Harga Sebuah Tulisan Dan Penulis Yang Berjaya
Mungkin orang lain ada tafsiran tersendiri, dan saya berpendapat nilai harga sebuah tulisan itu ada pada kandungan yang disampaikannya, dan kejayaan seorang penulis itu ada pada keikhlasan hatinya.Ahli tasawwuf amat gentar hatinya untuk menulis sesuatu, dibimbangi ilmu yang ditulis adalah ilmu yang tidak perlu, maka bagaimana tafsiran si pembaca tak siapa tahu.Boleh jadi ada yang faham dan mengerti, dan barangkali ada yang mentafsir sesuka hati.Kesannya bertambah ramai ulama muda read & copy, bukan berilmu hasil dari sebuah pembelajaran dengan murabbi, tapi lahirnya adalah daripada halaman blog-blog yang dibaca dan dikagumi.

Dunia moden membuktikan kepada kita kitab-kitab rujukan hanyalah pada halaman-halaman blog yang bertaburan banyaknya, ada yang bermanfaat dan ada yang sekadar untuk suka-suka, maka andainya kita sebagai seorang yang suka menulis setiap masa, berhati-hatilah sebelum melakarkan penanya.

Saya nukilkan secebis kisah seorang ulama' ilmu nahu yang cukup menitikberatkan nilai ilmu yang ingin disampaikan kepada manusia, beliau Syeikh Imam Al-Sonhaji yang merupakan seorang penulis kitab kecil berjudul Matan Ajrumiyyah.Mungkin kita telah ketahui dan mungkin hari ini baru menyedari, Matan Ajrumiyyah digunapakai sebagai antara rujukan utama dalam ilmu kaedah-kaedah Nahu di kebanyakan intitusi pengajian agama.Kitab kecil ini cukup masyhur di kalangan para ilmuan.Sekalipun kecil dan ringkas penanya, tapi penafsirannya memerlukan pengamatan dan pengkajian yang mendalam.

Dikisahkan tatkala selesai mengarang Matan Ajrumiyyah, Syeikh Imam Al-sohaji dengan kewarakannya dan sifat tawakkalnya yang begitu tinggi, beliau mengapungkan kitab karangnnya itu ke dalam sungai yang mengalir lantas di doakan pada Tuhan,“Ya ALLAH jika karanganku ini akan memberi manfaat, maka jadikanlah tinta yang aku pakai untuk menulis ini tidak luntur di dalam air”, dan terbukti tatkala ditenggelamkan kitab itu di dalam air, maka tintanya tidak luntur dan kekal seperti biasa.Inilah keajaiban yang ALLAH berikan buat hambanya yang ikhlas melakukan sesuatu kerana redhanya.

Dalam riwayat yang lain disebutkan, ketika beliau mengapungkan kitab tersebut di dalam air, beliau berniat untuk supaya kitab itu ditenggelamkan air, dan seadainya kitab itu hanyut di bawa arus air maka bererti ianya tiada manfaat, namun seandainya ia tidak bergerak ke mana-mana, maka pasti ada manfaat bagi yang mempelajarinya dan akan ada manusia yang mengkajinya.Lalu sambil meletakkan kitab tersebut di dalam air, Syeikh Imam Al-sonhaji berkata "“Juruu Miyaah, juruu miyaah” (mengalirlah wahai air ! ). Namun anehnya, kitab itu tetap pada tempatnya.SubhanALLAH!, betapa bernilai ilmu yang ada didalamnya.Ayuhlah kita berusaha mempelarinya.

Renungilah, betapa ikhlas hati yang menulis, betapa manfaat ilmu yang ditulis, sehinggakan air yang membasahi helaian tidak mampu melunturkan tinta-tintanya. Kita mungkin jauh sekali untuk menjadi penulis seperti beliau, bahkan kita kadang-kala terlebih ghairah menulis dan menyebarkan sesuatu ilmu, apatah lagi kalau tulisan kita sudah diterbitkan dalam sebuah buku, maka jari-jemari yang menaip semakin laju, sehinggakan lupa untuk beristigfar seketika kepada Tuhan.Takutilah terhadap apa yang kita tuliskan, kita tak mungkin mampu menenggelamkan tulisan kita didalam air untuk menguji manfaat ilmu yang dikarang, tapi setidak-tidaknya tadahkanlah tangan dan berdoa " Ya ALLAH Ya Tuhanku, Andai TulisanKu Ini Bermanfaat Buatku Dan Mereka Yang Membacanya, Kau Hadirkanlah Manusia Untuk Mengambilnya,Dan Kau Berikan Padaku Hidayah Dan Jua Pada Yang Membaca, Dan Andanya Ia Tidak Membawa Manfaat, Kau Tutuplah Mata Manusia Daripada Menjumpainya"

Hakcipta Isi Kandungan
Sebahagian penulis tidak mengizinkan karangannya di sebarkan melainkan dengan kebenarannya, sehingga ada yang menggunakan aplikasiblock copypaste pada blog, ada pula yang mengizinkan dengan syarat memberikan kredit pada penulis, ada penulis bila ia mengarang sesuatu ia tidak sesekali kongsikan kepada sesiapa melainkan setelah diterbitkannya samaada melalui blog atau buku yang dikarang. Saya tidak ingin memberi apa-apa komen kepada mereka, setiap manusia ada pendirian tersendiri, cukuplah untuk saya mengatakan pada diri sendiri bahwa ulama'-ulama' muktabar mengarang kitab begitu banyak jilidnya, begitu kualiti hasil tulisannya, tapi tak pernah mengharapkan apa-apa daripada penulisannya, bahkan ada yang menggunakan nama samaran untuk menyembunyikan identiti mereka yang sebenarnya.Nikmat ilmu pada hari ini bukanlah yang datang daripada kita sendiri, kita ambil daripada gologn ulama' dan para murabbi, dan mereka pula bersambung-sambung ilmunya sehingga sampai ke para nabi.Janganlah kita bercampur aduk dalam keikhlasan berdakwah dengan perniagaan ilmu.Kalau sememangnya kita menulis untuk menyebarkan ilmu dan nasihat, maka pedulikanlah siapa yang ingin mengambil dengan cara hormat atau yang mencuri dengan cara pengkhianat. Teruskanlah usaha untuk menyampaikan ilmu dan nasihat,sejauh mana kualiti terpulanglah pada kemampuan diri, asalkan jangan dihalang manusia mengambil manfaat daripada penulisan kita dek kerana mereka tidak memberikan kreditnya. Kitalah yang mendisiplinkan diri terlebih dahulu untuk memberi, pasti orang lain juga berdisiplin untuk menerimanya.Semoga ALLAH menjauhkan kita darpada menjadi seorang penulis yang tiada harga di sisiNYA. Amin Ya RABBal 'Alamin.






Akan terus menulis (inshALLAH)
  Photobucket

3 comments:

Marina Ali said...

Assalamualaikum dek,alhamdulilah satu perkongsian ilmiah yang bermanfaat buat kita semua,akak suka...teruskan melakar n32 yang bernas,dan kita sentiasa sharing2 ILMU....yer.Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak...:)

Anonymous said...

Terima kasih :)

Ummu Rumaysa said...

@kak marina
syukran kak..i.ALLAH selagi ALLAH m'bri ilham sy akn trus mnulis.. Slmt m'ymbut ramadhan juga buat akk skeluarga..Ramadhan Kareem^__^

Mithaqan Qholizo:)

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم  AlhamduliLLAH thumma alhamduliLLAH 30 JamadilAwwal 1436H | 21 Mac...